Wednesday, March 19, 2014

IHSAN SESAMA INSAN, KEREDHAAN DARI TUHAN



Suatu hari, Sayyidina Ali bin Abi Talib R.A. berangkat untuk menunaikan solat Subuh berjemaah bersama Rasulullah di masjid. Dalam perjalanan ke sana, beliau bertemu dengan seorang lelaki tua berjalan bertatih-tatih dengan tongkatnya. Di tangannya memegang lampu untuk menerangi jalan. Sebagai sikap rendah diri dan menghormati orang tua, Ali tidak berani berjalan mendahului lelaki tua itu lalu mengikutinya dari belakang. Disebabkan ini, tentunya Ali akan terlambat datang berjemaah di masjid. Namun rupa-rupanya lelaki tua itu tidak singgah solat di masjid serta meneruskan perjalanan kerana dia merupakan orang Nasrani! Ketika masuk ke masjid, Ali menemui Rasulullah S.A.W. sedang rukuk. Nabi S.A.W. pada ketika itu memanjangkan rukuknya dengan bacaan yang panjang sehingga Ali boleh mengikutinya menjadi makmum. Selesai solat Ali bertanya:

“Ya Rasulullah, mengapa engkau memanjangkan rukukmu, suatu hal yang belum pernah kulihat selama ini,” tanya Ali.

“Ketika aku rukuk dan membaca Subhaana Rabbiyal ‘Aziimi, sebagaimana biasanya aku akan berdiri tegak. Sebelum kepalaku tegak, Malaikat Jibrail A.S. telah mendahuluiku menekan punggungku agak lama. Setelah lama menekan punggungku aku baru boleh mengangkat kepalaku membaca iktidal,” jawab Rasulullah S.A.W.


Mendengarkan penjelasan Baginda S.A.W. itu, Ali lalu menceritakan peristiwa yang baru sahaja dialaminya dalam perjalanan ke masjid itu. Rupa-rupanya Allah S.W.T. telah memberi isyarat kepada Rasulullah S.A.W. agar Sayyidina Ali R.A. boleh ikut berjemaah Subuh dengan Rasulullah S.A.W. Bukan itu sahaja riwayat yang mengagumkan Sayyidina Ali R.A. ini. Diceritakan pada waktu itu juga, Malaikat Mikail A.S. diperintahkan Allah S.W.T. untuk menahan lajunya matahari hanya agar Ali tidak ketinggalan solat Subuh berjemaah di masjid bersama Rasulullah S.A.W.

*****************************



Firman Allah S.W.T., Mafhumnya :


“Bagi orang yang berbuat ihsan mereka akan mendapat syurga dan tambahan (melihat Wajah Allah).” 

(Surah Yunus, Ayat 26) 



Firman Allah S.W.T. lagi :




“Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga berbuat baik sesama manusia.” 

(Surah Ali 'Imran, Ayat 112) 



**************************



Tuesday, February 4, 2014

ALLAH ITU MAHA PEMURAH






Yunus bin Ubaid dari al Hasan berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. telah Bersabda:

“Setiap anak Adam itu akan dijaga oleh dua orang malaikat, dan malaikat yang sebelah kanan itu lebih berkuasa dari yang disebelah kiri.”

Kalau seseorang anak Adam itu membuat dosa maka malaikat yang disebelah kiri akan bertanya kepada malaikat yang disebelah kanan:

“Apakah yang harus aku catat?”

Maka berkata malaikat yang disebelah kanan:

“Jangan kamu catat dosanya sehingga ia melakukan 5 dosa.”

Kemudian malaikat yang disebelah kiri bertanya lagi:

“Kalau dia telah melakukan 5 dosa, apakah yang harus aku catatkan?”

Berkata malaikat yang disebelah kanan:

“Biarkan sehingga dia membuat kebaikan, sebab kami telah diberitahu bahawa satu hasanat kebaikan dapat sepuluh kali ganda. Oleh itu, kita hapuskan 5 sebagai imbangan dari dosa yang 5 dan kami catatkan hanya 5 hasanat.”

Apabila syaitan mendengar yang demikian maka dia pun menjerit sambil berkata:

“Kalau begini, bilakah aku dapat menjerumuskan anak Adam?” 

*****************************



Ibnu 'Abbas R.A. berkata: Nabi S.A.W. dari apa yang diriwayatkan dari Allah 'Azza Wa Jalla, Bersabda:

"Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan dan keburukan kemudian menjelaskan keduanya,maka siapa yang berniat untuk melakukan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, dicatat untuknya 1 kebaikan,dan bila dikerjakannya dicatat oleh Allah 10 kebaikan, dapat bertambah sehingga 700 kali, dan dapat berlipat kali ganda lebih dari itu. Sebaliknya, jika berniat untuk melakukan keburukan (dosa) tetapi tidak dikerjakan, dicatat untuknya 1 kebaikan yang cukup (sempurna), dan bila berniat lalu dilaksanakan, maka dicatat 1 dosa."

(HR Bukhari dan Muslim)

**************************



Sunday, January 12, 2014

Duhai Suamiku...Fahamilah Daku...



Pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Khalifah Umar al-Khattab R.A. Tujuannya untuk mengadu tentang perangai isterinya. Setelah sampai dan menunggu beberapa ketika di hadapan pintu rumah Khalifah Umar, didengarnya isteri Khalifah sedang marah-marah, tetapi khalifah tetap diam. Tidak sedikit pun Khalifah Umar menyahut.

Melihat keadaan itu, lelaki itu bergegas pergi dan berkata kepada dirinya, “Kalau keadaan Amirul Mukminin seperti ini, apalagi keadaanku!”

Namun, sebaik sahaja hendak melangkah, Khalifah Umar keluar dan memanggilnya.

“Apa tujuan kedatanganmu?” tanya Khalifah Umar.

“Ya Amirul Mukminin, aku datang untuk mengadu tentang kelakuan isteriku. Dia sangat cerewet dan sering berkata kesat kepadaku. Tetapi apabila aku sampai di sini, aku dengar isteri tuan juga sama seperti isteriku.”

Khalifah Umar menjawab, “Aku tabah dan sabar menghadapi hal ini kerana dia telah menunaikan kewajipan dengan baik terhadapku. Dialah yang memasak makananku, dialah yang membuat rotiku, dialah yang mencuci pakaianku, dialah yang menyusukan anak-anakku, padahal itu bukan merupakan kewajipan baginya.

“Dan dialah juga yang mententeramkan hatiku sehingga aky dapat menjauhkan perbuatan yang haram. Kerana itulah aku tabah dan sabar mendengarkan apa sahaja yang dikatakan mengenai diriku!”

Lelaki itu menyahut, “Ya Amirul Mukminin, demikian juga isteriku!”

Khalifah Umar kemudian menasihatinya, “Saudara, bersabarlah menghadapi isterimu, kerana keadaannya ini hanya sebentar sahaja.”

*****************************



Duhai suami…




Firman Allah S.W.T., Mafhumnya :

“Hai orang-orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita dengan cara paksa, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah, kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” 

(Surah An-Nisa', Ayat 19) 



Duhai isteri…


Sabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :

“Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain, tentu aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.” 

(HR Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah) 




**************************