Thursday, December 22, 2011

KHUTBAH NIKAH



(Kebanyakan dari kita mungkin sudah terlupa...)



السّلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته


الحمد لله ربّ العالمين

والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين

وعلى آله وأصحابه أجمعين


سبحانك لا علملنا الاّ ما علمتنا انك انت العليم الحكيم

ولا حول ولا قوّة الاّ بالله العليّ العظيم



Tuan/Puan Hari ini kita akan raikan majlis pernikahan En. Mohd Farhan dari Johor Bharu, Johor dengan Cik Aida Khairani dari Ipoh, Perak. Marilah kita mulakan dengan bacaan ummul kitab, al Fatihah...

Sebentar lagi saudara dan saudari akan diijab kabulkan dan selepas itu akan bermulalah kehidupan anda sebagai pasangan suami isteri. Secara langsung semua tanggungjawab bapa atau keluarga dari pihak perempuan, akan berpindah ke bahu saudara sebagai suaminya. Maka bimbinglah isteri dan keluarga ke jalan agama. Laksanakanlah segala suruhan dan tinggalkan larangan-NYA. 


Demikianlah besarnya ganjaran ALLAH terhadap orang yang berumah tangga dengan syarat si suami perlulah solat berjemaah bersama isteri. Apabila dikurniakan zuriat, bimbinglah mereka. Mudah-mudahan dianugerahkan anak yang soleh dan solehah. Jika saudara dan saudari sibuk dengan pekerjaan, usah sesekali tinggalkan qariah masjid. Peruntukkanlah masa-masa tertentu bersama jemaah di sana. Bawalah langkah ke rumah ALLAH sentiasa kerana kita ini hidup bermasyarakat. Bagaimana agaknya, jika tiba masanya dijemput ILAHI tetapi tiada siapa yang mahu mempersiapkan kita? Kerja kita tidak akan membantu, wang juga tidak akan menolong kecuali mereka yang menjadikan masjid sebagai tempat bermasyarakat.

Tujuan kita berumah tangga juga untuk menghalalkan hubungan suami isteri serta memperolehi zuriat suci dan soleh solehah. Tujuannya juga agar kita mengetahui setiap susur galur keturunan, selain untuk mengelakkan daripada wujudnya anak luar nikah dalam keluarga. Selain itu, tujuannya juga untuk membentuk akhlak mulia. Ini kerana sebagai ibu bapa akhlak memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri anak soleh dan solehah. Ada juga ibu bapa berakhlak buruk tetapi menginginkan zuriat yang baik dan mulia. Itu namanya ibu bapa yang tidak adil! Oleh itu, berusahalah menjadi ibu bapa cemerlang dunia akhirat.

Selain itu kita berkahwin juga semata-mata untuk membentuk rasa tanggungjawab; terhadap diri, isteri dan keluarga. Ia perlu dijalankan sebagaimana yang telah dijanjikan ketika ijab ini dilafaz. Usah culas dalam melaksanakan kewajipan kerana itulah tunjang kerukunan sesebuah rumah tangga idaman. Ambillah setiap baris ilmu yang diperolehi dalam rumah tangga. Insya-ALLAH, akan wujudlah keluarga harmoni diiringi redha ILAHI.

Peranan utama yang perlu dimainkan oleh si suami ialah menyuruh ahli keluarganya berpegang kepada ikrar sebagai Muslim. Kita ada Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam. Sesungguhnya itulah ikrar yang perlu dipegang dalam kehidupan. Tanpanya runtuhlah istana cinta yang dibina bertahun-tahun lamanya itu. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa kemusnahan menyayat hati.


Mengaku tidak ada TUHAN melainkan ALLAH. Ya... itulah ikrar dan aku janji kita sebagai seorang Islam. Tetapi ingat, hanya mengakui tanpa disusuli perbuatan, adalah sia-sia. Maka, buktikanlah; mengucap dua kalimah syahadah, dirikanlah solat, tunaikan puasa, membayar zakat dan mengerjakan haji.


Laksanakanlah dengan yakin dan bersungguh-sungguh agar diganjari pahala dan syurga yang nikmatnya tiada penghujung. Seperti yang kita maklum, perkahwinan dalam Islam adalah ibadat dan sunah Rasulullah S.A.W. Oleh itu, ilmu rumah tangga perlulah dipertingkatkan dari masa ke masa agar semua ibadat dapat dilakukan dengan sempurna. Bagi mereka yang berkemampuan, hendaklah segera berkahwin kerana perkahwinan itu menenangkan jiwa, menenangkan fikiran, meluaskan kaum kerabat, menimbulkan perasaan tanggungjawab.

Sebentar lagi, En. Mohd Farhan akan diijab kabulkan dengan Cik Aida Khairani. Dengan ijab kabul itu nanti akan bermulalah tanggungjawab En. Farhan terhadap si isteri; menyediakan makanan, tempat tinggal, pakaian dan paling utama ialah agama. Manakala tanggungjawab isteri ialah membantu suami mentadbir rumah tangga serta mentaatinya.

Sebagai seorang suami kita perlu bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal untuk menyara anak dan isteri. Usah sekali-kali membawa balik benda yang haram kerana kesannya terlalu bahaya! Anak-anak menjadi degil, isteri pula bersikap ego dan sukar untuk dinasihati. Akhirnya, rumah tangga akan goyah dan tidak mustahil jika ia roboh. Ingatlah... sumber yang haram itu jika diambil akan mendarah daging dalam tubuh kita. Tiada yang dapat menyucikannya kecuali api neraka panas membakar. Nauzubillah...

Sebagai suami dan isteri, masing-masing perlu ada persefahaman. Faham dalam erti kata saling membantu antara satu sama lain. Misalnya, jika diuji dengan kesakitan atau kemiskinan, maka bersabarlah. Insya-ALLAH TUHAN itu tidak menzalimi hamba-NYA. Berdoa dan berusahalah agar dikurniakan rezeki yang halal serta diberi tahap kesabaran dalam menghadapi mehnah kehidupan.

Hakikatnya, tanggungjawab seorang suami terlalu berat. Mengapa? Kerana isteri itu adalah amanah ALLAH. DIA telah memberi kepercayaan kepada seorang lelaki untuk menjaga seorang isteri. Sebagaimana cerita Datuk (Nabi Adam) kita yang awal dahulu. ALLAH telah menciptakan Nabi Adam dari tanah dan menempatkannya seorang diri dalam syurga. Tiada pasangan dan yang ada hanyalah perasaan sunyi. Lalu, ALLAH mencipta Siti Hawa sebagai pasangan dari rusuk kirinya.


Tetapi, mengapa ALLAH memilih rusuk kiri padahal yang kanan itu lebih mulia? Jawapannya ialah rusuk kiri itu dekat dengan jantung hati suami. Dekat untuk disayangi bukan untuk dibenci. Jadi sebagai si jantung hati, si suami perlu berlemah lembut dan jangan jadikan isteri sebagai tempat melepaskan geram, maki hamun dan berkata kesat. Jika berlaku perselisihan, berusahalah mencari jalan penyelesaian. Insya-ALLAH jika ada tolak ansur, pasti wujud rumah tangga bahagia.

Tanggungjawab suami yang lain ialah zuriat. Berusahalah mendidik zuriat ke arah kebaikan. Paling penting, berikanlah kepada mereka didikan agama kerana ia tunjang kehidupan. Ketahuilah, jika mereka melakukan maksiat, maka dosa yang diperolehi itu akan ditanggung oleh si ayah (selagi belum baligh). Laratkah kita menanggung dosa anak dan isteri, walhal dosa diri sendiri pun tidak tertanggung? Oleh itu, ajarlah mereka mengenal agama, mengenal ALLAH dan Rasul serta mengetahui apa yang boleh dan tidak dalam Islam.


Jika mereka dibiarkan hanyut dalam dunia sendiri dan teman-temannya, maka bersedialah si ayah dan ibu menerima berita yang memilukan! Oleh itu, didiklah mereka dengan agama. Mudah-mudahan apabila kita berada di alam barzakh akan ada yang menghadiahkan fatihah dan doa buat kita di sana kelak. Sesungguhnya hanya itulah bekal yang kita bawa suatu hari nanti.Sesungguhnya, inilah sedikit sebanyak nasihat dan peringatan buat mempelai yang akan diijabkabulkan. Hayati dan laksanakan dalam kehidupan. Mudah-mudahan rumah tangga yang dibina ada rahmat yang mengiringi ada redha yang memayungi.

Ingatlah... hidup berdua itu amat berbeza daripada hidup berseorangan. Segalanya perlu dikongsi dan tiada yang 'itu hak aku'. Bersabarlah mengharungi dunia perkahwinan. Usah gentar dengan cubaan yang mendatang kerana ALLAH tidak akan membebankan hamba-NYA dengan sesuatu yang tidak termampu olehnya. Sentiasalah berdoa dan bertawakal. Insya-ALLAH TUHAN itu akan merahmati hubungan yang halal bahkan diberkati.

Demikian kedua-dua mempelai, pokok pangkal untuk mendapat hidup sebagai suami isteri ialah dengan kembali kepada Islam. Tunaikan semua perintah ALLAH dan jauhi larangan-NYA.

والله أعلم


~ KAHWIN PADA USIA MUDA ~


(FUAD HJ. SAM)



*******************************************

Daripada Saad Bin Abi Waqqas R.A., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, Mafhumnya :

"Di antara sumber kebahagiaan anak Adam itu tiga perkara, manakala di antara kecelakaan juga tiga perkara. Tiga sumber kebahagiaan mereka adalah :

1) Isteri yang solehah,
2) Tempat tinggal yang baik,
3) Dan kenderaan yang baik.

Manakala punca kesengsaraan mereka pula adalah :

1) Isteri yang jahat,
2) Tempat tinggal yang buruk,
3) Dan kenderaan yang tidak menyenangkan."

*******************************************

1 comment:

  1. Sabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :

    "Apabila seorang perempuan menjaga solatnya yang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan menjaga kemaluannya serta menta'ati suaminya maka ia akan masuk Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yang ia kehendaki (sukai)"

    (Hadith Riwayat Ibnu Hibban)

    ReplyDelete