Tuesday, August 30, 2011

Selamat Tinggal Kekasihku...Ramadhan...


Langit, Bumi dan Malaikat bersedih pada detik-detik menjelang kepergian Ramadhan, Mereka menyapa :

"Hendak ke mana?"

Ramadhan menjawab :

"Aku harus pergi dulu, tolong sampaikan pesan ku pada para Mukmin."

"Syawal akan tiba. Ajaklah sabar untuk temani hari-hari dukanya...."

"Lalu peluklah Istiqamah saat lelah dalam perjalanan Taqwa.."


"Bersandarlah pada Tawadhu' saat kesombongan menyerang. Mintalah nasihat Al-Quran dan Sunnah di setiap masalah yang dihadapi..."

"Sampaikan salam dan terima kasihku; kerana telah menyambutku dengan sukacita..."

"Kelak akan ku sambut mereka di pintu syurga."



**********************************************

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:


”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:

”Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”


**********************************************

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.”


(Ibnu Majah)


**********************************************


SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR DAN BATIN







Monday, August 8, 2011

Beginilah Kita ...

Suatu masa, terdapat sebatang pokok mangga yang cukup besar di hujung sebuah desa. Setiap hari seorang kanak-kanak lelaki datang bermain-main di situ. Sesekali dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan buahnya yang ranum.

Ada kalanya dia berehat lalu terlelap di pangkal pokok tersebut. Kanak-kanak lelaki itu begitu menyayangi tempat permainannya. Masa berlalu… budak lelaki itu sudah remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok mangga tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok mangga dengan wajah sedih. 

“Marilah bermain-main di sekitarku,” ajak pokok mangga itu.

“Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,” jawab budak remaja itu.

“Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya,” sambung remaja itu dengan nada sedih.

Lalu pokok mangga itu pun berkata :
“Kalau begitu, petiklah mangga-mangga yang ada padaku. Jualkan untuk mendapat wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan.”

Budak remaja itu dengan gembira memetik semua mangga di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok mangga cukup merasa sedih.


Masa berlalu…
Suatu hari, remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok mangga tetap merasa gembira. 

“Marilah bermain-main di sekitarku,” ajak pokok mangga itu.

“Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan keluargaku. “Bolehkah kau menolong aku?” tanya budak itu. 

“Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya,” pokok mangga itu memberi cadangan.

Lalu, budak yang telah pun dewasa itu memotong kesemua dahan pokok mangga itu. Pokok tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana sahabatnya itu tidak pernah menemuinya.
Pada suatu hari yang panas terik, seorang lelaki datang berteduh di bawah pokok mangga yang sudah kembali rendang itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengannya dulu.Dia telah matang dan dewasa kerana itulah pokok mangga lambat mengenalinya.

“Marilah bermain-main di sekitarku seperti dahulu,”
ajak pokok mangga sebaik mengetahui siapa lelaki itu.
 

“Maaf... aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku punya tanggungjawab sendiri. Rasa-rasa aku ingin berlayar, tapi malangnya, aku tidak mempunyai bot. Boleh kau tolong aku?” tanya lelaki itu. 

“Aku tidak punya apa-apa untuk diberikan. Tetapi kau boleh memotong batangku ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat berlayar dengan gembira,” cadang pokok mangga. 

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang pokok mangga itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak pernah kembali lagi.

Berpuluh tahun kemudian, pokok mangga yang dahulu gagah perkasa kini hanyalah sebuah punggur, ternampak seorang lelaki tua berjalan menuju ke arahnya.
Setelah diamati dan direnung tajam, barulah dia mengenali siapa lelaki tua itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain bersamanya dahulu. 

“Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat perahu. Aku hanya ada tunggul dengan akar-akar yang hampir mati...” kata pokok mangga dengan nada pilu. 

“Aku tidak mahu manggamu kerana aku sudah tidak bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya. Aku juga tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk berlayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat,” jawab lelaki tua itu.

“Jika begitu, sandarkanlah tubuhmu pada punggurku,”
kata pokok mangga.


Lalu, lelaki tua itu menyandarkan badannya. Terasa begitu enak berada dalam ‘pelukan’ punggur pokok mangga itu. Kedua-duanya menangis kegembiraan.




**********************************************
PAPARAN cerita ini wajar kita renung dan fikirkan bersama tentang pengajaran di sebaliknya. Pokok mangga yang dimaksudkan adalah ibu bapa kita.

Semasa kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kemudian kita tinggalkan mereka dan hanya kembali apabila memerlukan pertolongan, terutama ketika dilanda kesusahan.
Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira. Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu kejam terhadap pokok mangga itu, tetapi itulah hakikatnya cara kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa.

Hargai dan sayangilah ibu bapa. Jangan hanya mengunjungi mereka semasa susah dan melupakan mereka tatkala senang. Apalah faedahnya merayakan Hari Ibu dan Hari Bapa jika mereka diingati cuma setahun sekali.


KASIH IBU SAMPAI SYURGA

"N
urse... boleh tengok bayi saya..." ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat.

Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambutnya dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu, diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada di pangkuan.

Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.

Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek.

Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup menggembirakan si ibu.

Masa terus berlalu...

Pulang dari sekolah suatu tengah hari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan.
 

Mereka kata saya cacat... katanya kepada si ibu.

Si ibu menahan sebak. Dipujuknya di anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah.

Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk.

Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor.
 

Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma, kata pakar bedah.

Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Dua tahun berlalu...

Anakku... kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi... dia mahu dirinya dirahsiakan... kata si ayah.

Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru - kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.

Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.

Sebelum saya berangkat keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya, kata si anak berkali-kali.

Tak mungkin, balas si ayah.

Bila? tanya si anak.

Akan tiba masanya anakku, balas si ayah sambil ibunya mengangguk-ngangguk. Keadaan itu terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.

Hari yang ditunggu tiba akhirnya.

Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibu yang kaku.

Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.

Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,si ayah berbisik ke telinga anaknya.

Tetapi tiada siapa yang pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya... tanyalah siapa pun kenalannya.



**********************************************

Kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal tetapi di hati. Cinta sejati bukan pada apa yang dilakukan dan dihebah-hebahkan tetapi pengorbanan tanpa diketahui...

KASIH YANG TIADA GALANG GANTINYA...


Ini adalah kisah benar pengorbanan seorang ibu semasa Gempa Bumi di China.

Selepas gempa bumi reda, apabila penyelamat tiba di runtuhan rumah seorang wanita muda, mereka melihat mayat beliau melalui celah runtuhan dan timbunan tanah. Tetapi entah bagaimana ia kelihatan agak aneh seperti melutut pada seseorang dan menyembah ke hadapan, dan dua tangannya menyokong sesuatu objek. Rumah runtuh itu telah menghempas belakang dan kepalanya.

Dengan usaha yang sukar, ketua pasukan penyelamat meletakkan tangannya melalui celahan yang kecil di dinding untuk mencapai badan wanita tersebut. Dia berharap bahawa wanita ini mungkin masih hidup. Walau bagaimanapun, badannya yang sejuk dan kaku membuktikan bahawa wanita itu telah meninggal dunia.
Dia dan seluruh pasukan meninggalkan rumah itu dan mencari mangsa pada bangunan runtuh yang seterusnya. Tanpa sebarang alasan, ketua pasukan ini didorong oleh satu kuasa yang kuat menariknya untuk kembali ke rumah wanita yang runtuh itu. Sekali lagi, dia melutut dan melalui celahan runtuhan yang sempit untuk meninjau keadaan mayat itu. Tiba-tiba, dia menjerit kegirangan :

Seorang kanak-kanak! Ada kanak-kanak!

Seluruh pasukan bekerja bersama-sama dengan berhati-hati mereka memindahkan objek runtuhan yang menghempas wanita itu hingga mati. Terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 bulan yang dibalut dengan selimut berbunga di bawah mayat ibunya. Jelas sekali, wanita itu telah berkorban hingga ke akhir hayatnya untuk menyelamatkan anaknya. Apabila rumahnya runtuh, dia menggunakan tubuhnya untuk melindungi anaknya. Budak lelaki itu masih tidur dengan nyenyak semasa ketua pasukan penyelamat itu menemuinya.


Doktor bergegas datang untuk memeriksa anak kecil tersebut. Selepas beliau membuka selimut, terdapat telefon bimbit di dalam selimut itu. Tertera teks mesej pada skrin telefon bimbit itu :
 

Jika kamu boleh hidup, kamu harus ingat bahawa ibu sayang kamu.

mesej ini telah dihantar dari satu tangan ke tangan yang lain.

Setiap individu yang membaca mesej ini pasti menangis...

Jika kamu boleh hidup, kamu harus ingat bahawa ibu sayang kamu.

Begitulah kasih sayang seorang ibu pada anaknya.



**********************************************

HADIAH TERSEMBUNYI


Farid merupakan seorang pelajar di sebuah universiti terkemuka di dalam negara. Dia tinggal bersama ayahnya, Encik Rahim, sejak dari kecil setelah ibunya meninggal dunia.

Encik Rahim merupakan seorang yang sangat kaya. Tetapi dia tidak pernah memanjakan Farid dengan harta kekayaannya kecuali untuk pelajaran anaknya itu.

Seperti pemuda yang lain, Farid juga berkeinginan untuk memiliki kereta sendiri. Kawan-kawannya yang lain telah lama memiliki kereta. Farid berasa sangat cemburu dengan kawan-kawannya.

Suatu hari, Farid menyatakan keinginannya itu kepada Encik Rahim.

"Ayah akan berikan hadiah yang lebih besar dari sebuah kereta kalau Farid dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan semester akhir nanti. Boleh?" tanya Encik Rahim.

Farid mengangguk tanda faham. Dia mula terbayangkan kereta mewah yang akan dipandunya nanti. Ketika itu, pasti dia boleh menunjuk-nunjuk keretanya itu kepada kawan-kawannya.

Farid menyahut cabaran ayahnya itu. Dia belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Dia mahukan hadiah yang dijanjikan ayahnya itu.

Setelah beberapa minggu peperiksaan tamat, keputusan dikeluarkan oleh pihak universiti. Farid memperolehi keputusan yang sangat membanggakan. Dia memperolehi gred A dalam semua matapelajaran.

Farid pulang ke rumah untuk menunjukkan keputusan itu kepada ayahnya. Encik Rahim mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T. sebaik saja melihat keputusan Farid. Dia benar-benar terharu lalu menitiskan air mata kegembiraan.

"Farid, ayah tahu, Farid akan dapat apa yang Farid telah usahakan. Tetapi Farid mesti ingat, bukan semua yang kita inginkan kita akan dapat. Kejayaan bukan di dunia ini sahaja. Kejayaan di akhirat itu yang kekal abadi," pesan Encik Rahim sambil menepuk bahu Farid.

"Farid tidak lupa pesan ayah. Ayah, ayah tidak lupa janji ayah pada Farid, bukan?" tanya Farid.


"Ya, ayah tidak pernah lupa. Ayah akan tunaikannya. Ada sesuatu yang sangat berharga untuk Farid?" kata Encik Rahim. 

"Apa dia, ayah?" tanya Farid tidak sabar. 

"Tunggulah minggu depan. Jangan bimbang. Ayah pasti akan berikan kamu hadiah itu," kata Encik Rahim, cuba menenangkan Farid.

Setelah seminggu berlalu, tibalah hari yang ditunggu Farid. Encik Rahim mengeluarkan sesuatu dari sebuah bilik. Ia ditutup dengan kain dan diletakkan di atas sebuah troli. Terukir senyuman di wajah Farid. Farid membuka kain yang menutupi troli itu.

Sebuah al-Quran diletak kemas di atas troli itu. Farid terkejut dengan hadiah yang diterimanya. Dia tidak inginkan al-Quran itu lalu mencampakkannya ke arah Encik Rahim.
 

"Apa semua ini, ayah? Apakah erti kesusahan Farid jika ini yang Farid dapat? Hancur impian Farid selama ini, ayah!" kata Farid.

Farid keluar meninggalkan ayahnya. Dia mengambil beberapa helai pakaian, lalu keluar dari rumah itu. Encik Rahim hanya berdiri kaku. Al-Quran masih berada di hujung kakinya. Dia tidak menyangka Farid bersikap kasar terhadapnya.

Kira-kira 20 tahun kemudian, Farid pulang kembali ke rumah itu setelah menerima berita ayahnya telah meninggal dunia. Rumah itu menjadi miliknya kini.

Dia masuk ke salah sebuah bilik kosong. Hatinya tersentuh apabila terpandang sebuah al-Quran di atas rak. Al-Quran itu agak lusuh dan berhabuk. Farid membukanya. Sebuah kunci tersemat kemas di dalam al-Quran itu. Itulah kunci kereta mewah yang dihadiahkan ayahnya.

Menitis air mata Farid mengenangkan sikapnya. Dia terlalu mengikut sifat tamak halobanya. Dia teringat kembali pesanan ayahnya bahawa kejayaan akhirat itulah yang kekal abadi. Ayahnya menghadiahkan sesuatu yang amat berguna buat dirinya. Sejak dari itu, Farid menjadi bisu dan dia menyesali perbuatannya.

**********************************************

SEMUANYA PERCUMA...
Syukri merupakan anak tunggal kepada Encik Murad dan Puan Nadiah. Dia sangat manja dengan kedua ibu bapanya. Pada suatu hari, Syukri meminta sejumlah wang daripada Puan Nadiah. Dia takut untuk meminta daripada Encik Murad kerana dia telah menghabiskan wang perbelanjaan sekolah yang diberi.

Tetapi Puan Nadiah menolak permintaan Syukri itu. Puan Nadiah tahu Syukri akan menghabiskan wang yang diberi untuk membeli permainan video dan coklat kesukaannya.

Syukri berasa marah. Pada waktu petang, ketika Puan Nadiah sibuk menyediakan minuman petang, Syukri berdiri di hadapan Puan Nadiah, lalu menyerahkan sepucuk surat.

Selepas mengelap tangan, Puan Nadiah membuka lipatan surat itu lalu membacanya. Dia membaca satu persatu perkataan yang ditulis anaknya itu;


Nilai membersihkan bilik saya sendiri : RM 40

Nilai pergi ke pasar : RM 40

Nilai membasuh pinggan : RM 30

Nilai menolong ibu membersihkan rumah : RM 20

Nilai memperoleh markah tertinggi di sekolah : RM 70


Jumlah : RM 200


Ibu jelaskan bayaran ini secepat mungkin.


Puan Nadiah memandang Syukri. Dia tersenyum dan bersimpati. Dia mengambil sebatang pen dan menulis sesuatu di bahagian belakang surat itu. Surat itu diserahkan kepada Syukri kembali lalu Syukri membacanya;


Nilai sembilan bulan mengandungkanmu : PERCUMA.

Nilai susu ibu yang kamu minum : PERCUMA.

Nilai menukar lampinmu selama enam tahun : PERCUMA.

Nilai bangun setiap malam untuk mengubatimu ketika sakit : PERCUMA.

Nilai kepenatan dan air mata sepanjang hidup ibu disebabkanmu : PERCUMA.

Nilai kerisauan ibu terhadapmu : PERCUMA.

Nilai permainan, makanan dan pakaian hingga ke hari ini : PERCUMA.


Wahai anakku, kalau kamu hitung kesemuanya. kasih sayang ibumu untukmu adalah PERCUMA.



Sebaik menghabiskan ayat yang terakhir surat itu, Syukri menitiskan air mata. Dia memandang Puan Nadiah dengan penuh kesayuan.
“Ibu, maafkan saya ibu. Saya sayangkan ibu,kata Syukri.

Kemudian, dia mengambil pen dan menulis sepotong ayat dengan saiz yang besar;

Jasa yang tak mungkin dapat dibalas.


**********************************************

IBU TIPU SAYA...


Nama saya Arfan. Ibu saya bernama Puan Hafizah. Bukan selalu ibu bercakap benar. Sepanjang saya hidup bersamanya, tujuh kali ibu menipu diri saya. Kisah bermula semenjak kelahiran saya. Saya merupakan anak tunggal dalam sebuah keluarga yang sangat miskin. Kami tidak mempunyai makanan yang cukup untuk keperluan hidup kami. Cukuplah sesuap nasi bagi menghilangkan kelaparan kami dalam satu-satu hari. Pada suatu hari, ibu memberikan saya bahagian nasinya. Ibu memasukkan nasi ke dalam pinggan saya.

"Arfan, ambillah nasi ini. Ibu tak lapar pun," kata Puan Hafizah.

Itulah kali pertama ibu menipu saya.

Ketika saya membesar, ibu berhenti daripada membuat kerja-kerja rumah. Suatu hari, ibu pergi ke sebatang anak sungai berdekatan rumah kami. Tujuan ibu hanyalah untuk mendapatkan ikan untuk memberi saya makan dan menidurkan saya. Setelah menunggu sekian lama, ibu berjaya mendapatkan dua ekor ikan. Ibu bergegas pulang ke rumah untuk memasak kedua-dua ekor ikan itu. Ibu menghidangkan ikan goreng untuk saya. Saya mengambil seekor ikan dan makan sedikit demi sedikit. Kemudian ibu makan lebihan yang saya tinggalkan. Hati saya tersentuh. Lalu saya meletakkan seekor lagi ikan di hadapan ibu. Ibu segera meletakkan kembali ikan itu di hadapan saya.

"Arfan, ikan ini pun Arfan habiskan. Arfan kan tahu ibu tak suka makan ikan,"
kata Puan Hafizah.

Ini kali yang kedua ibu menipu saya.

Apabila umur saya mencecah tujuh tahun, saya perlu ke sekolah. Malangnya kami tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung yuran persekolahan. Lalu ibu pergi ke pasar. Ibu bersetuju dengan salah seorang pekerja kedai pakaian untuk menghantar barang-barang keperluan ke rumah-rumah penduduk. Ibu turut mengambil upah menjahit pakaian wanita. Pada suatu malam, hujan turun dengan lebatnya. Ibu lambat pulang ke rumah. Saya sudah lama menunggu ibu. Saya keluar mencari ibu di lorong-lorong berdekatan. Saya melihat ibu sedang membawa banyak barang sambil mengetuk pintu penduduk rumah di situ.

"Ibu, marilah kita pulang ke rumah. Dah lewat! Kan sejuk ni. Ibu sambunglah kerja esok," kata Arfan memanggil ibu.

Ibu tersenyum mendengar kata-kata saya.

"Arfan, ibu tak letih pun," jawab Puan Hafizah.

 
Ini kali yang ketiga ibu menipu saya.

Tiba hari peperiksaan akhir tahun buat saya. Saya mendesak ibu pergi bersama saya. Saya masuk ke dewan peperiksaan. Ibu hanya menunggu di luar dewan dalam kepanasan cahaya matahari. Loceng berbunyi menandakan waktu peperiksaan telah tamat. Saya keluar mendapatkan ibu. Lalu ibu memeluk saya dengan erat dan mendoakan saya berjaya. Di tangan ibu ada sebungkus minuman. Ibu membelinya untuk saya minum sebaik sahaja tamat peperiksaan itu. Saya minum sepuas-puasnya sehingga hilang dahaga saya. Walau bagaimanapun, pelukan ibu itu yang membuatkan saya benar-benar bahagia dan aman. Tiba-tiba saya melihat ada titik-titik peluh di dahi ibu. Saya segera memberikan ibu minuman itu.

"Ibu, ibu minumlah," pinta Arfan.

"Arfan, Arfan minum. Ibu tak dahaga," balas Puan Hafizah.

Ini kali yang keempat ibu menipu saya.

Saya berjaya menamatkan persekolahan saya di peringkat menengah. Saya diterima masuk ke universiti tempatan. Saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Saya keluar dari universiti itu sebagai seorang graduan yang cemerlang. Setelah memperoleh pekerjaan, saya bertekad bahawa inilah waktu yang sesuai untuk saya memikul tanggungjawab ibu. Ibu harus berehat. Ibu mempunyai masalah kesihatan. Tetapi ibu masih mampu untuk menjual sayur-sayuran di pasar setiap pagi. Saya meminta ibu untuk meninggalkan kerjanya itu dan berjanji dengan ibu untuk memberikan gaji saya kepadanya. Ibu menolak.

"Arfan, simpanlah duit Arfan tu. Ibu ada duit. Masih cukup lagi," beritahu Puan Arfah.

Ini kali yang kelima ibu menipu saya.

Sambil bekerja, saya menyambung pengajian saya di peringkat yang lebih tinggi. Saya berjaya dengan cemerlang. Lalu gaji saya dinaikkan. Pangkat saya dinaikkan dan ditawarkan untuk bekerja di Jerman. Saya memulakan kehidupan saya di negara orang dengan penuh gembira. Setelah saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana, saya menghubungi ibu. Saya mengajak ibu tinggal bersama-sama saya. Tetapi ibu tidak mahu menyusahkan saya.

 
"Arfan, ibu belum bersedia hidup mewah," kata Puan Hafizah.

Ini kali yang keenam ibu menipu saya.

Ibu semakin tua. Ibu menghidap barah. Perlu ada seseorang yang dapat menjaga dan merawat ibu. Tetapi apa yang boleh saya lakukan. Jarak di antara saya dan ibu amatlah jauh. Saya nekad. Saya meninggalkan segalanya dan pulang ke pangkuan ibu. Saya mendapati ibu terlantar di katil selepas menjalani pembedahan. Ibu menoleh ke arah saya. Ibu cuba untuk senyum. Tetapi hati saya benar-benar tersentuh apabila melihat tubuh ibu yang kurus dan lemah. Kini ibu bukanlah ibu yang saya kenal dulu. Air mata meleleh di pipi saya. Ibu cuba menenangkan saya.

 
"Jangan menangis Arfan. Ibu tak rasa sakit pun," beritahu Puan Hafizah.

Ini kali yang ketujuh ibu menipu saya.

Selepas berkata begitu kepada saya, mata ibu tertutup. Ibu tidak lagi membuka mata untuk selama-lamanya. Ibu pergi meninggalkan saya keseorangan.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu, jagalah nikmat ini sebelum kita kehilangannya. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu tersayang, ingatlah selalu betapa penatnya ibu kerana kita. Berdoalah kepada Allah S.W.T. untuk ibu agar dilimpahkan rahmat dan keampunan. 


Ibu, Arfan sayang ibu!

**********************************************


KISAH NABI ALLAH SULAIMAN A.S. DAN KUBAH AJAIB


 
Diceritakan daripada Nabi Allah Sulaiman Bin Nabi Allah Daud, Alaihimassalam, bahawasanya dia telah berkata :

Semasa aku sedang duduk berehat di atas kursi kerajaanku mengucapkan kesyukuran terhadap berbagai-bagai nikmat yang dikhususkan Allah buat diriku, tiba-tiba datang Sayyidina Jibril A.S. membawa wahyu supaya aku segera bersiap dan berangkat ke sebuah pantai untuk aku menyaksikan suatu keajaiban dari kurnia Allah Ta’ala.


Bercerita Nabi Allah Sulaiman A.S. seterusnya :

Aku pun berangkat bersama-sama pengiring-pengiringku dari bangsa jin, manusia, binatang dan burung untuk menuju ke pantai itu, aku menoleh ke kanan dan ke kiri, aku tiada melihat sesuatu yang dikatakan ajaib itu, namun lama sudah dicari-cari, tiada ditemui juga. Apa bendanya yang dikatakan ajaib itu, sebagaimana yang diterangkan oleh wahyu tadi.

Sesudah merasa hampa tidak mendapatinya di darat, aku lalu memanggil jin Ifrit yang pertama seraya memerintahkannya supaya menyelam lautan itu dan mencari kalau ada benda-benda ajaib di perut lautan itu. Jin Ifrit itu menyelam kira-kira lama juga, kemudian kembali dan mengatakan tidak ada sesuatu yang boleh dikatakan ajaib di situ.

“Hamba telah menyelam di merata tempat, tuanku,” kata Jin Ifrit itu.

“Namun tiada suatu pun yang ajaib yang hamba lihat.”

“Kau selam sampai ke dasarnya?” Tanya Nabi Sulaiman A.S.

“Tidak, tuanku,” jawabnya.

“Oh, kau tidak selam ke dasarnya! Mungkin ia di dasar lautan ini?!” sambung Nabi Sulaiman A.S. lagi.

Baginda lalu memanggil Jin Ifrit yang kedua seraya bertitah kepadanya :

“Mari, kau pula cuba selam hingga ke dasar laut ini! Ingat, sampai ke dasar laut, dan cuba cari benda-benda yang ajaib itu!”

“Baik tuanku!” kata Jin Ifrit yang kedua itu.

“Hamba akan menyelam hingga e dasar laut ini, mudah-mudahan ada apa yang tuanku mahukan itu.”

“Ya,” kata Nabi Sulaiman A.S.

“Cepat pergi!” perintahnya lagi.
Jin Ifrit ini pun menyelam ke dalam laut itu agak lama hampir dua kali ganda masa yang diambil oleh Jin Ifrit yang pertama. Akhirnya dia timbul dengan termengah-mengah nafasnya kerana terlalu penat, agaknya.

“Tuanku!” sambil dia menggeleng-gelengkan kepalanya yang besar itu.

“Tak ada apa-apa yang ajaib tuanku!” kata Jin Ifrit itu.

“Tak ada?!” soal Nabi Sulaiman A.S.

“Tak ada, tuanku! Bukan sekali, atau dua kali hamba menjelajah, banyak kali, tuanku. Hamba yakin tak ada apa-apa yang ajaib. Hanya ikan dan batu-batu, itu saja,” sambung Jin Ifrit itu lagi.

“Ajaib! ….. Ajaib!” kata Nabi Sulaiman A.S.

“Barangkali salah tempat, tuanku?!” tanya Jin Ifrit itu.

“Ini tempatnya! Wahyu itu tidak salah, tapi kamu adalah jin-jin yang tidak teliti,” Nabi Sulaiman A.S. kelihatan berang.
Wazirnya, Ashif Bin Barkhiya, menghampirinya lalu berbisik :

“Tuanku!” kata Ashif.

“Barangkali hamba boleh membantu pula?!”

“Kau boleh menyelam di dalam laut ini?! tanya Nabi Sulaiman A.S. untuk mempastikan boleh tak bolehnya.

“Kalau ada izin tuanku, Insya Allah,” jawab Ashif.

“Baiklah, cubalah, wahai Ashif!” pinta Nabi Sulaiman A.S.

Ashif Bin Barkhiya, setelah membaca sesuatu, dia lalu menyelam ke dalam laut itu kira-kira lama juga, dan sebentar lagi dia menimbulkan sebuah kubah besar dari batu kapur putih seperti gua bentuknya, berpenjuru empat dan pada tiap-tiap penjuru ada sebuah pintu. Pintu pertama diperbuat dari mutiara, pintu kedua dari batu yaqut merah, pintu ketiga dari jauhar dan pintu keempat dari zabarjad. Semua pintu-pintu itu indah-indah buatannya serta bercahaya dan terbuka. Yang ajaibnya tiada setitis air pun yang dapat masuk ke dalam kubah itu meskipun pintu-pintunya ternganga dan kubah itu pula terletak di dasar lautan. 

Kubah itu ditarik dengan kuasa ghaib yang diserukan oleh Ashif Bin Barkhiya, menteri kanan Nabi Allah Sulaiman A.S., hinggalah diletakkannya di hadapan Nabi Allah Sulaiman A.S.

“Ini dia kubah yang dikatakan benda ajaib yang tuanku katakan tadi,” ujar Ashif.

“Ya, ia ini memang suatu perkara yang ajaib. Sebuah kubah dengan pintu-pintunya ternganga duduk di dasar lautan, tidak dimasuki air. Ini tentu suatu perkara yang ajaib,” tegasnya lagi.

“Sudahkah kau lihat apa yang ada di dalamnya?” tanya Nabi Sulaiman A.S.

“Belum, tuanku,” jawab Ashif.

“Tanpa izin tuanku hamba tak berani melihat apa yang ada di dalamnya,” sambung Ashif lagi.

Cuba beta hendak melihat apa yang ada di dalamnya,” ujar Nabi Sulaiman A.S.
Baginda lalu bangun dari kursi tempat duduknya dan mendekati pintu-pintu kubah itu. Apabila Baginda menjenguk ke dalamnya, dilihatnya di situ ada seorang pemuda sedang duduk bermunajat kepada Tuhannya. Pemuda itu cantik rupanya, bersih pakaiannya dan serba kemas keadaannya.
Apabila melihat Nabi Allah Sulaiman A.S. masuk, pemuda itu bangun menyambutnya dengan terkejut. Rupanya dia masih belum tahu bahawa kubahnya itu sudah berada di darat dari sebba khusyuknya dalam munajat tadi.
Nabi Allah Sulaiman A.S. memberi salam kepadanya, dan pemuda itu menyahut salamnya.

“Aku Nabi Sulaiman,” kata Nabi Allah Sulaiman A.S. memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu.

“Selamat datang, ya Nabi Allah! Selamat datang!” pemuda itu mengalu-alukan kedatangan Nabi Allah Sulaiman A.S. bersama-sama dengan pengiringnya.

Pemuda itu terus terpinga-pinga melihat Nabi Allah Sulaiman A.S. bersama-sama pengiringnya dengan tiba-tiba tercegat di hadapan matanya. Dari mana mereka ini datang? Dan bagaimana mereka datang? Dia kemudian menjengukkan mukanya ke pintu, dilihatnya kubahnya itu sudah berada di darat. Dia hairan, siapa pula yang membawa kubah ini naik ke darat? Dia serba bingung, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.

“Aku ni datang ke mari untuk menyaksikan perkara ajaib yang dikurniakan Allah kepadamu,” berkata Nabi Sulaiman A.S. kepada pemuda itu. 

Nabi Sulaiman A.S. lalu diizinkan oleh pemuda itu untuk melihat apa yang termuat di dalam kubah itu dari benda-benda yang ajaib-ajaib, yang belum pernah ada sebuah rumah pun diserikan seperti tu.

Setelah puas berjalan berkeliling kubah itu, Nabi Sulaiman A.S. lalu melemparkan soalannya yang pertama kepada pemuda itu, katanya :

“Bagaimana kau boleh berada di dalam lautan ini?” tanya Nabi Sulaiman A.S., takjub.

“Oh, itu! Ceritanya panjang,” kata pemuda itu.

“Cubalah ceritakan kepadaku!” pinta Nabi Sulaiman A.S.



Pemuda itu lalu bercerita, katanya :
 
Aku mempunyai seorang ayah yang tepok, tidak boleh berjalan. Dan ibuku pula buta, tidak boleh melihat. Aku berkhidmat kepada keduanya selama tujuh puluh tahun lamanya, tidak pernah aku menyesali diriku barang sedetik masa pun. Aku melayan keduanya dengan penuh rela hati, dan tidak ada suatu yang mereka minta, melainkan aku adakan. Pendek kata, mereka senang sekali dengan layananku sehingga mereka menghembuskan nafas mereka yang terakhir.
 
Takdir Tuhan menentukan bahawa ibuku yang pergi dulu. Sebelum dia meninggal dunia, dia telah menyatakan kerelaannya terhadap apa yang aku buat semasa hidunya, dan mendoakan bagiku : 

Ya Allah! Ya Tuhanku! Mudah-mudahan Engkau lanjutkan usia anakku ini dalam ketaatan kepada-Mu!
Tidak berapa lama sesudah itu, ayahku pula telah sampai ajalnya. Dia memanggilku di sisinya sambil menyatakan kerelaannya terhadap diriku yang memeliharanya dan melayaninya. Dia selalu mendoakan bagiku : 

Ya Allah! Ya Tuhanku! Lindungilah anakku ini di suatu tempat, di mana tiada syaitan dapat menyentuhnya!
Rupa-rupanya Allah Ta’ala telah mengabulkan doa kedua orang tuaku itu. Maka pada suatu hari, aku keluar untuk bersiar-siar di tepi pantai ini, aku temui kubah ini terapung-apung di atas air. Aku sungguh hairan melihat kubah ini, bagaimana kubah sebesar ini dapat timbul di atas muka air, dan tidak tenggelam. Apa rahsianya? Kataku di dalam hatiku.
 
Apabila aku tiba berhampiran dengan kubah ini, aku terasa seolah-olah ada seruan yang menyeruku untuk memasukinya. Aku tidak merasa takut sama sekali, padahal benda ini adalah benda ajaib, sekurang-kurangnya aku akan memanggil orang untuk datang bersama meneliti apa yang ada di dalam kubah ini.
 
Aku memasukinya, dan aku lihat di dalamnya lebih luas dari apa yang aku lihat dari luarnya. Sungguh ajaib sekali kubah ini!
Sambil aku berjalan mengelilingi ruang dalam kubah ini, aku merasa bahawa kubah ini telah bergerak laju menurun ke dalam dasar lautan. Aku menjenguk pada tiap-tiap pintunya yang sentiasa ternganga tidak pula dimasuki air. Ke mana agaknya kubah ini akan membawaku?! Aku tidak tahu. Lama juga, barulah aku rasakan bahawa kubah ini telah menetap di dasarnya. Sebentar lagi aku lihat suatu lembaga memberi salam kepadaku. Aku terkejut, dan bertanya :

“Siapa gerangan engkau ini?!”

“Aku adalah Malaikat yang ditugaskan untuk membawa kubah ini duduk di dasar laut ini,” kata lembaga itu.

“Malaikat?” kataku terperanjat.

“Kubah ini adalah kurnia Allah untukmu sebagai balasan dari khidmatmu kepada kedua ibu bapamu. Kau akan menetap di sini selama yang kau suka dengan segala kelengkapan makan minum akan datang kepadamu pada bila-bila masa saja yang kau mahu,” terang Malaikat itu.

Dia lalu mengucapkan selamat tinggal kepadaku dan menghilang.

“Berapa lama kau sudah berada di sini?” tanya Nabi Sulaiman A.S.

“Sudah terlalu lama, dan aku sendiri tidak mengiranya oleh kerana merasakan terlalu lazatnya munajatku kepada Allah, sehingga aku tidak tahu waktu lagi,” jawab pemuda itu.

“Aku lihat keadaanmu tidak berubah-ubah, muda terus,” kata Nabi Allah Sulaiman A.S.

“Begitulah keadaanku, ya Nabi Allah!” jawab pemuda itu.

“Dari sejak aku menetap di dalam kubah ini hingga kini, namun rupa dan bentuk badanku tidak berubah-ubah. Aku tidak pernah merasakan tua sepanjang hidupku di sini,” tambah pemuda itu lagi.

“Bila masanya kau masuk ke dalam kubah ini?” Nabi Sulaiman A.S. ingin tahu sudah berapa lama pemuda ini sudah berada di dalam kubah ini.

“Dari sejak zaman Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam,” kata pemuda itu.

“Zaman Nabi Allah Ibrahim?!” Nabi Sulaiman A.S. terperanjat kelihatannya.

“Sudah terlalu lama, cuba aku kira aaah ….. Sudah lebih kurang dua ribu empat ratus tahun sekarang.” kata Nabi Sulaiman A.S.

“Yakah, sudah begitu lama?” Tanya pemuda itu tidak tahu.

“Tapi aku lihat rupamu terus muda semakin muda!”
Nabi Allah Sulaiman A.S. beserta pengiring-pengiringnya takjub sekali melihat pemuda itu. Orang yang sudah hidup dua ribu empat ratus tahun masih terus muda begini!

“Habis, makan minummu dari mana?”

“Hai Nabi Allah...” jawab pemuda itu.

“...Setiap masa aku hendakkan makanan atau minuman, akan menjelma kepadaku seekor burung besar hijau membawa sesuatu di muncungnya, suatu benda kuning warnanya seperti kepala manusia besarnya, aku memakannya dan aku dapati sungguh nikmat sekali makanan itu tiada yang dapat disamakan dengan makanan di dunia. Bukan itu saja, malah aku merasakan udara di dalam kubah ini terus nyaman sederhana, tidak panas dan tidak dingin. Aku juga tidak merasakan mengantuk untuk tidur, atau merasa penat dan lelah, atau bosan. Aku merasakan nikmat yang penuh di dalam kubah ini.”

“Ajaib! Sungguh ajaib!” ujar Nabi Sulaiman. 

Setelah dirasakan puas dapat melihat keindahan ruang dalam kubah itu, Nabi Sulaiman A.S. ingin beredar dari situ kembali ke tempatnya, maka dia mempelawa pemuda itu, katanya :

“Senang kau tinggal di sini, ataupun kau hendak ikut kembali bersama-sama kami?” tanya Nabi Sulaiman A.S.

“Nikmat apa lagi yang mesti aku pinta sesudah nikmat dan kurnia yang Allah berikan kepadaku ini?” tanya pemuda itu minta pendapat dari Nabi Allah Sulaiman A.S.

“Benar katamu,” kata Nabi Sulaiman A.S.

“Jadi kau hendak aku perintahkan orang-orang aku kembalikan kau ke tempatmu di dasar laut ini?”

“Ya, tolonglah aku,” kata pemuda itu.

“Baiklah,” jawab Nabi Sulaiman A.S.

“Hai Ashif! Kembalikanlah kubah ini di tempat yang kau temuinya tadi!” titah Nabi Sulaiman A.S. kepada menterinya, Ashif Bin Barkhiya.
Ashif segera membacakan sesuatu, lalu menyeru kubah itu masuk ke dalam dasar laut itu, hingga diletakkannya di tempatnya yang asal. Kemudian dia kembali semula dan memberitahu Nabi Sulaiman A.S. bahawa perintahnya telah dilaksanakan dengan sempurna.
Maka Nabi Sulaiman A.S. pun mengumpulkan orang-orangnya seraya mengingatkan :

“Kamu semua telah lihat perkara ajaib yang diminta Allah supaya aku menyaksikan, dan kamu pun telah menyaksikan bersamaku. Lihatlah! Betapa Allah membalas orang yang berkhidmat kepada kedua ibu bapanya. Sebagaimana besar sekali kurnia Allah kepada orang-orang yang berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, begitu pulalah besarnya ancaman dan balasan Allah terhadap orang yang mensia-siakan kedua orang tuanya. Ingatlah, jangan sesekali kamu menderhakai kedua orang tuamu, dan ajarkanlah anak-anakmu supaya menghormati orang tua dari masa kecil, supaya tidak terlanjur nanti di masa besarnya!”
Nabi Sulaiman A.S. pun berangkatlah dari pantai itu membawa suatu ingatan yang ajaib dalam fikirannya. Dia bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah memberikannya kesempatan dan kebolehan untuk menyaksikan perkara ajaib itu, Wallahua’lam.




**********************************************

Firman Allah S.W.T., Mafhumnya :

“Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘Ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangiku sewaktu aku masih kecil

(Surah Al-Isra'; Ayat 23 & 24)

**********************************************