Sunday, January 12, 2014

Duhai Suamiku...Fahamilah Daku...



Pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Khalifah Umar al-Khattab R.A. Tujuannya untuk mengadu tentang perangai isterinya. Setelah sampai dan menunggu beberapa ketika di hadapan pintu rumah Khalifah Umar, didengarnya isteri Khalifah sedang marah-marah, tetapi khalifah tetap diam. Tidak sedikit pun Khalifah Umar menyahut.

Melihat keadaan itu, lelaki itu bergegas pergi dan berkata kepada dirinya, “Kalau keadaan Amirul Mukminin seperti ini, apalagi keadaanku!”

Namun, sebaik sahaja hendak melangkah, Khalifah Umar keluar dan memanggilnya.

“Apa tujuan kedatanganmu?” tanya Khalifah Umar.

“Ya Amirul Mukminin, aku datang untuk mengadu tentang kelakuan isteriku. Dia sangat cerewet dan sering berkata kesat kepadaku. Tetapi apabila aku sampai di sini, aku dengar isteri tuan juga sama seperti isteriku.”

Khalifah Umar menjawab, “Aku tabah dan sabar menghadapi hal ini kerana dia telah menunaikan kewajipan dengan baik terhadapku. Dialah yang memasak makananku, dialah yang membuat rotiku, dialah yang mencuci pakaianku, dialah yang menyusukan anak-anakku, padahal itu bukan merupakan kewajipan baginya.

“Dan dialah juga yang mententeramkan hatiku sehingga aky dapat menjauhkan perbuatan yang haram. Kerana itulah aku tabah dan sabar mendengarkan apa sahaja yang dikatakan mengenai diriku!”

Lelaki itu menyahut, “Ya Amirul Mukminin, demikian juga isteriku!”

Khalifah Umar kemudian menasihatinya, “Saudara, bersabarlah menghadapi isterimu, kerana keadaannya ini hanya sebentar sahaja.”

*****************************



Duhai suami…




Firman Allah S.W.T., Mafhumnya :

“Hai orang-orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita dengan cara paksa, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah, kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” 

(Surah An-Nisa', Ayat 19) 



Duhai isteri…


Sabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :

“Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain, tentu aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.” 

(HR Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah) 




**************************





No comments:

Post a Comment