“Ya Hafiz! kamu memang boleh! Apakah dengan sedikit mehnah dan tribulasi yang Aku timpakan ke atasmu ini, engkau sudah melupakan akan tanggungjawabmu, bagi melunaskan segala usaha murnimu untuk membalas segala jasa baik serta kurniaan nikmat yang telah Aku berikan kepadamu?”, aku bermonolog sendirian.
Bisikan-bisikan madah kata semangat yang terngiang-ngiang di telingaku inilah yang bagaikan telah menyuntik semangat kepada diriku, untuk membuat suatu keputusan yang muktamad; “Ya! Sungguh semua ini takkan pernah mampu melunturkan semangatku untuk meneruskan perjuangan ini! Aku akan teruskan jua walau badai datang melanda, aku takkan patah semangat!”, ikrar ku pada hati yang sedari tadi asyik mengomel kepada diriku sendiri.
Kemudian, aku terus bergegas mencapai tuala usangku, serta mempersiapkan diriku, buat menghadapi perjalanan program pada hari ini dengan sebaiknya, Insya Allah. Kedinginan air yang membeku, bagaikan begitu hangat sekali tatkala menyentuh kulitku di pagi hari itu, tanda semangatku yang berkobar-kobar untuk menyertai program lawatan nanti, di mana ianya membuatkan ku betul-betul tidak sabar untuk tiba secepat mungkin ke tempat program itu. Jika aku punyai sayap untukku terbang setangkas helang yang menguasai ruang angkasaraya itu, pasti akan ku lakukan, asalkan aku dapat sampai ke destiasi yang dituju dengan segera, kerana aku dapat merasakan di hadapanku nanti, sudah tersedia pelbagai khazanah pengalaman pahit manis yang bakal aku pelajari di sana, buat bekalan diriku dalam perjalanan sebagai seorang hamba, menuju Mardhatillah dalam kehidupan nanti Insya Allah.
Setelah menyarungkan baju t-shirt berwarna hitam demi mengikut tema program; Iaitu bersesuaian dengan kehendak pensyarah yang meminta kami memakai baju t-shirt scrabble Kelab MASSA, aku terus menghidupkan enjin motorku, bersedia untuk meneruskan perjalanan menuju ke fakulti bagi menyempurnakan tugasan yang telah diamanahkan, iaitu untuk memastikan perjalanan program berlangsung dengan jayanya Insya Allah. Setibanya di perkarangan fakulti, kelihatan beberapa orang rakan-rakanku yang turut sama terlibat dengan program ini, sedang melambai-lambai ke arahku, seakan-akan kerinduan mereka menunggu ketibaanku ini telah terubat jua akhirnya.
“Ah! Perasan!”, rungutan yang aku tujukan buat diriku sendiri ini terus mematikan lamunan yang bermain-main di fikiran. Apapun, dengan cara inilah, aku mampu terus memotivasikan diri sendiri, dengan cara sentiasa berfikiran positif, dengan harapan moga-moga sendu yang acapkali membelenggu diri ini akan sirna akhirnya.
“Tap!”, aku menongkatkan motorku di tempat parking yang terletak di hadapan lobi utama pejabat fakulti. Seakan-akan ada perompak yang mengejar dibelakangku, aku terus bergegas, berlari-lari anak ke bilik gerakan Kelab MASSA untuk mendapatkan beberapa kotak air minuman buat bekalan para peserta program pada hari ini. Moga-moga rasa kehausan bukan menjadi punca yang mampu membunuh semangat mereka untuk memberikan yang terbaik dalam menyempurnakan tugasan mereka Insya Allah. Dengan bantuan Noi, aku berjaya membawa turun beberapa buah kotak air minuman ke tempat menunggu bas di hadapan fakulti.
“Fuh! Alhamdulillah...”, Aku mengomel sendirian sambil saling berbalas senyuman dengan Noi, sebagai tanda penghargaan di atas kesudian beliau membantu diriku ini, kerana sejujurnya di kala itu, hanya itu sahaja yang mampu aku sedekahkan serta hadiahkan sebagai tanda penghargaan buat beliau.
Kemudian setelah menunggu buat beberapa ketika, pawana ketenangan bagaikan terus menerpa serta menampar lembut pipiku ini, tatkala melihat seraut wajah insan yang cukup ku kagumi, dialah seorang ibu, dialah seorang sahabat sejati, dan dialah pensyarah kami; Puan Hariyati Ariffin, atau lebih mesra disapa dengan panggilan Mama, yang kelihatan sedang menapak, berjalan kemas menuju ke arah anak-anak didiknya yang sudah sekian lama menanggung rindu, maka kehadiran beliau seakan telah menyuntik semangat kami untuk menyediakan diri dengan kekuatan fizikal mahupun mental, bagi mengharungi sebarang kemungkinan, segala apa yang bakal kami lalui pada hari ini.
Tidak lama kemudian, bas yang akan membawa kami ke destinasi yang dituju pun tiba dan tanpa melengahkan masa lagi, setelah selesai sesi mengambil gambar sebagai attendance proof bak kata Mama, kesemua peserta terus menaiki bas dengan penuh rasa kegembiraan yang tidak terhingga. Di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang dimaksudkan itu, aku mengambil peluang untuk beramah mesra dengan rakan-rakan yang walaupun sama fakulti, tetapi disebabkan berlainan cabang pengajian ataupun sequence yang diambil, waktu untuk kami berjumpa dan bersembang di fakulti bagaikan diragut dek masa yang cukup mencemburui kita semua. Selain itu, aku juga berpeluang untuk mendekati tokoh pensyarah yang cukup disegani di fakulti, Mama dan di sepanjang perjalanan, Mama menceritakan pelbagai pengalaman hidup beliau bukan sahaja kepada diriku, malah terdapat beberapa orang lagi di kalangan peserta program yang turut sama berada di dalam bas tersebut, kelihatan turut khusyuk mendengar segala apa yang diperkatakan oleh kami berdua; Saat yang semestinya tidak mampu ku beli walaupun memiliki segunung emas yang melangit tinggi, yakni masa untuk berkongsi pengalaman serta mengenali dengan lebih dekat lagi peribadi insan yang cukup banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara ini.
Hampir setengah jam berlalu, akhirnya kami tiba ke destinasi yang dituju, dan di kala itu, kelihatan susuk tubuh dua orang yang seperti sudah lama menanti untuk menyambut ketibaan kami; iaitu saudara Zaidi dengan motorsikal kesayangannya berwarna hitam itu, dan Encik Mohiadin, Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor; tempat program yang bakal dijalankan nanti. Tangan dihulur, salam bersambut. Aku terus menyapa mesra mereka berdua serta mengambil kesempatan untuk berkenalan walaupun dalam waktu yang sangat singkat dengan insan yang secara sukarelanya sanggup mengorbankan wang, masa dan tenaga bagi membangunkan sebuah pusat jagaan sementara ataupun transit bagi mereka yang ditinggalkan sendirian di hospital tanpa belas kasihan oleh kaum keluarga sendiri; iaitu Encik Mohiadin, yang juga merupakan ayahanda tercinta bagi sahabatku, saudara Muhammad Syafiq.
Kemudian, aku terus menurunkan segala kelengkapan yang dibawa untuk keperluan para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, dengan bantuan rakan-rakanku yang turut komited untuk sama-sama memastikan kejayaan program murni ini. Seterusnya kami terpaksa berjalan kaki sejauh beberapa meter untuk memasuki ke perkarangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, kerana jalannya yang sempit, yang tidak memungkinkan bagi sebuah bas untuk melaluinya, malah jalan itu hanya muat untuk dilalui oleh sebuah kereta sahaja. Setelah sama-sama berjalan kaki secara berjemaah buat beberapa ketika, akhirnya kami dapat melihat dari kejauhan, sebuah papan tanda berwarna oren yang terbentang dengan tulisan "Pusat Jagaan Nur Hasanah".
“Alhamdulillah, syukur pada-Nya, akhirnya dapat jua aku sampai ke tempat yang bagiku bakal menjanjikan seribu satu pengalaman yang berharga untuk dibawa pulang sebagai bekalan dalam menyusuri perjalanan dunia yang penuh dengan ranjau serta onak berduri ini. Alhamdulillah.”, bisikku kepada hati kecilku ini.
Kehadiran kami turut disambut oleh para kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah yang menawarkan khidmat mereka secara sukarela untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik, yang seakan terdampar di sebuah tempat yang jauh dari kampung halaman yang dirindui, dek kerana kerakusan anak-anak yang kononnya terlampau sibuk bagi menjaga orang tua mereka di kala memerlukan, sedangkan tangan tua yang kian berkedut itulah yang selama ini memberikan belaian lembut, mengusapi rambut anak-anak, sebagai tanda kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat anakanda yang tersayang, dengan harapan ianya mampu memberikan suntikan semangat serta motivasi yang tinggi, agar mereka akan tumbuh subur menjadi insan yang berguna kepada masyarakat; harapan yang hanya tinggal harapan, bagaikan pepasir di pantai, yang kian terhakis dek amukan ombak yang ganas, sebagai metafora kepada harapan mereka yang telah musnah di bawa angin lalu.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah serta doa pembukaan majlis oleh insan yang kerdil lagi hina dina di sisi pandangan mata manusia biasa ini; diriku sendiri. Walaupun dalam kesengsaraan menanggung kesakitan yang teramat sangat akibat batuk yang berpanjangan semenjak beberapa minggu yang lalu, namun ku gagahkan jua diriku untuk membacakan doa, dengan harapan majlis yang berbahagia ini berolah keberkatan dari-Nya, serta sebagai suntikan semangat buat para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, agar walaupun hidup mereka selalu dirundung sepi dan sendu, namun masih wujud keyakinan serta keimanan dalam diri mereka, bahawa Allah itu sentiasa ada, setia di sisi mereka, dan akan sentiasa meluangkan masa untuk mendengar segala rintihan hamba-hamba yang amat dikasihi-Nya ini, serta akan memakbulkan doa bagi mereka yang sabar dalam menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam kehidupan ini.
“Amin...”, semua peserta program, para kakitangan dan penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah turut sama mengaminkan bacaan doa yang ku bacaan tadi. Walaupun seuntai doa yang agak ringkas, namun aku berharap Allah S.W.T. akan mendengar segala doa pengharapan dari hamba-Nya yang merintih memohon perkenan dari-Nya, agar Dia mempermudahkan segala-galaya buat kita semua, Amin ya Robbal ’Alamin. Aturcara seterusnya diteruskan lagi dengan ucapan oleh pensyarah merangkap penasihat program amal ini, Puan Hariyati Ariffin, yang mana intipati kandungan kata alu-aluan dari beliau telah menerangkan kepada semua peserta program dan kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, akan objektif utama mengapa program ini direncanakan, iaitu antaranya bertujuan untuk memberi pendedahan yang sangat bermanfaat buat semua pelajar, akan peri pentingnya kesedaran untuk berbakti kepada kedua orang tua yang banyak berjasa kepada diri kita, di kala mereka sudah menginjak ke usia emas, yang sangat memerlukan perhatian yang cukup teliti dan penuh keperihatinan.
Seperti emas yang memerlukan kepakaran serta ketelitian untuk menggilap bagi memastikan ianya terus berkilauan dan menenangkan hati yang tidak jemu-jemu memandangnya, begitu jualah kedua ibu bapa kita yang turut memerlukan perhatian yang sangat rapi, sedangkan segala usaha yang kita curahkan dalam memberikan yang terbaik buat kedua ayahanda bonda yang tersayang itu, walau dikumpulkan segala emas dan permata berharga yang dikorek dari segenap inci perut bumi untuk dihadiahkan buat mereka, pasti tidak akan terbalas segala jasa bakti yang telah mereka curahkan buat kita selama ini.
Acara seterusnya diteruskan lagi dengan ucapan Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Encik Mohiadin Bin Bahado, yang turut diselang-selikan dengan tayangan montaj yang menyayat hati, berkenaan luahan rasa para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, yang ditinggalkan oleh ahli keluarga yang selama ini diharapkan untuk menjadi tempat mengadu nasib serta mampu menjaga mereka di kala usia menganjak ke senja, namun harapan yang disemai ke atas mereka seperti bak kata pepatah Melayu, Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi. Video-video yang ditayangkan itu diambil daripada video-video yang pernah disiarkan di kaca televisyen, yang kebanyakannya disiarkan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi pelbagai saluran berita mereka seperti Warta Perdana dan sebagainya.
Selain itu, ketika kami sedang khusyuk mendengar penerangan-penerangan yang diberikan oleh Encik Mohiadin, aku terpana dan terpaku dengan gelagat Atuk Hasyim, salah seorang penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah yang mengesat air mata yang mengalir laju di pipinya, apabila Encik Mohiadin meminta para peserta program untuk bertafakur sejenak serta menghadiahkan sekalung Al-Fatihah buat lapan orang di antara penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah yang baru sahaja meninggal dunia.
“Semoga engkau tenang di sana duhai sahabat-sahabatku. Aku akan sentiasa merinduimu dan mendoakan kesejahteraan engkau di alam sana. Moga perpisahan ini hanyalah sementara, dengan hanya bercerai jasad sahaja, namun Insya Allah, semoga Allah mempertemukan kita kembali di Jannatul Firdausi kelak, Amin”, aku bagaikan dapat membaca segala apa yang terpendam di lubuk sanubari Atuk Hasyim, yang jiwanya bagaikan tersiat dengan kehilangan sahabat-sahabat yang selama ini banyak memberikan dorongan dan dokongan semangat untuk mereka sama-sama meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan segala pancaroba yang mencengkam ini.
Setelah selesai majlis perasmian program lawatan ke Pusat Jagaan Nur Hasanah sebentar tadi, semua peserta, kakitangan serta para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah bersama-sama menikmati sedikit juadah sebagai tanda ’Selamat Datang’ yang disediakan oleh kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, berupa sedikit kuih muih dan minuman. Kemudian, bermulalah episod yang seterusnya dalam lembaran kehidupan kami, di mana kami semua dibahagikan mengikut tugas masing-masing; ada yang terlibat dalam membantu Mama memasak makanan untuk para peserta, kakitangan dan penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, ada yang membantu Mak Andak, salah seorang kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah yang arif tentang tanaman yang ditanam di situ untuk menanam pokok-pokok baru dan sebagainya; Aku terlibat di bahagian ini bersama rakan-rakanku yang lain.
Di kala ini, aku berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat tentang perwatakan setiap dari rakan-rakan yang terlibat sebagai peserta program ini. Maklumlah ketika di fakulti, masing-masing sibuk dengan tugasan harian sendiri, sehinggakan agak sukar untuk menemui mereka secara kerap, kecuali jika di buat sebarang temujanji untuk bertemu pada waktu-waktu yang tertentu, barulah kami dapat berjumpa dan dapat bercakap secara face-to-face antara satu sama lain; Peluang inilah yang aku dapati melalui penglibatan dalam program yang bermatlamatkan usaha murni membantu insan lain yang memerlukan ini, maka selain dari memupuk semangat setiakawan di kalangan para peserta, ianya juga dapat mengeratkan ukhuwah di antara kami semua.
Di antara pengisian-pengisian menarik yang dapat aku perolehi disepanjang aktiviti riadah ini, ialah apabila aku dan rakan-rakan dapat menimba pelbagai pengalaman berharga yang tidak dapat dijual beli dari insan-insan yang berpengalaman seperti Mak Andak dan Mama Mila. Mak Andak umpamanya, bercerita tentang pengalamannya dalam menjaga para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah dengan seikhlas hati dan sukarela, tanpa mengambil kira berapa banyak elaun yang diberikan. Bagi Mak Andak, dengan membantu insan lain yang serba kekurangan inilah, beliau mendapat keberkatan dalam kehidupan serta beliau sentiasa mendapat kemudahan dalam hidup, kerana Allah pernah berjanji dalam Surah Muhammad, Ayat 7. Firman-Nya yang bermaksud,
“Hai orang-orang yang beriman! Jika kamu membantu (Agama) Allah, Dia akan membantu dan mengukuhkan kedudukanmu.”
Tegas Mak Andak lagi, ini juga boleh dikira sebagai sedekah jariah, di mana ianya tidak akan mengurangkan dari sudut kewangan kita umpamanya, malah hasil ’Pelaburan Ukhrawi’ yang kita lakukan ini pasti akan digandakan oleh-Nya, samada berbentuk rezeki yang melimpah ruah bagi kita, mahupun ganjaran Syurga Adnin nan indah di akhirat sana.
Disamping itu, kami juga dapat menimba sedikit sebanyak pengalaman berkenaan tumbuh-tumbuhan daripada Mama Mila, iaitu tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat untuk kesihatan seperti Tongkat Ali dan sebagainya. Apa yang menarik perhatian aku mengenai Mama Mila ialah, walaupun beliau memiliki profesyen yang lain juga iaitu sebagai penjaga wardrobe di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angaksapuri, namun beliau tetap dapat meluangkan masa bagi menyumbangkan sedikit tenaga dari tulang empat keratnya untuk membantu insan yang benar-benar memerlukan perhatian yang sewajarnya, seperti para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah ini. Beliau juga turut berkongsi kisah suka duka kehidupannya, iaitu pengalaman hidupnya sendiri sebagai seorang ibu tunggal, sebenarnya banyak memotivasikan diri beliau untuk mensyukuri serta lebih menghargai akan segala nikmat kurniaan-Nya di muka bumi ini. Sesungguhnya jika kita selalu merasa rendah diri serta memikirkan bahawa kita merupakan insan yang paling malang di muka bumi ini, maka ketahuilah bahawa masih ada ramai lagi insan-insan yang nasibnya lebih menyedihkan daripada kita. Walaupun kita tidak mampu menyumbang bagi membantu mereka melalui sumbangan kewangan atau tenaga sekalipun, sekurang-kurangnya kita boleh mendoakan agar mereka beroleh rahmat dari-Nya Insya Allah.
“Ubi! Ubi!”, terdengar seruan yang menyedarkan aku dari lamunan yang terawang-awang di benak fikiranku ini. Rupa-rupanya, Mama Mila menunjukkan kepada kami akan tanaman ubi yang ditanam di halaman Pusat Jagaan Nur Hasanah. Mama Mila juga membawa pisau kecil bagi membantu aku dan rakan-rakan untuk mengorek keluar isi ubi yang tertanam nun jauh di dalam perut bumi. Setelah berusaha sedaya upaya menggali tanah, aku akhirnya berjaya menarik keluar isi ubi dengan bantuan rakan-rakan yang lain.
Meraikan kejayaan manis menggali keluar ubi kayu bersama rakan-rakan.
Aku diminta untuk mengepalai solat Zohor berjemaah dan seterusnya bacaan tahlil arwah buat para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah yang telah kembali ke Rahmatullah, dengan bermakmumkan para peserta, kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah. Kemudian, kami sekali lagi menjamu selera dengan masakan enak yang disediakan oleh seorang chef tersohor yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Puan Hariyati Ariffin atau Mama. Di antara masakan beliau yang telah memikat selera aku ialah ’Sambal Special’, yang masih tidak dapat aku lupakan kelazatannya hingga ke hari ini. Dan semestinya aku tidak bersendirian dalam memberikan komentar ataupun pandangan ikhlas ini, apabila ’Sambal Special’ yang Mama sediakan ini tidak menunggu masa yang lama untuk dihabiskan dalam sekelip mata. Sedangkan aku sendiri hanya mampu menjamah sedikit sahaja dari makanan istimewa hasil pembikinan air tangan seorang ibu yang cukup teliti sifatnya dalam memberikan yang terbaik untuk anakanda yang dikasihi sekalian.
Sekali lagi, setelah masuknya waktu Asar, aku sekali lagi mengambil tanggungjawab untuk mengimamkan solat fardhu Asar berjemaah. Sesi yang seterusnya yang bagiku cukup menarik, iaitu sesi persembahan karaoke daripada para peserta program dan wakil penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, Atuk Hasyim. Bagi menyuntik sedikit rasa keinsafan ke dalam sanubari setiap para peserta program, aku memilih untuk mendendangkan lagu Odei Anak dari Kumpulan Raihan dan Kaulah Segalanya (Broery Marantika), yang ditujukan khas buat ibu bapa yang selama ini tidak pernah mengenal erti penat lelah serta jemu dalam membesarkan kami semua, sehingga menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kini. Tiba-tiba, di kala aku sedang khusyuk menghayati bait-bait alunan melodi lagu yang begitu melankolik ini, aku dikejutkan oleh salah seorang kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah yang memberitahu bahawa salah seorang penghuni pusat jagaan ini, Encik Latif Lim yang juga merupakan seorang mualaf, menangis teresak-esak di kala aku menyanyikan lagi Odei Anak dengan penuh penghayatan tadi. Entah apa yang bersarang di fikiran beliau pada ketika itu, hanya beliau sendiri dan Allah sahajalah yang Maha Mengetahui akan apa yang tersirat di sudut hati hamba-hamba-Nya ini.
Kemudian bagi meredakan keadaan, aku meneruskan lagi acara pada petang yang permai, diiringi bayu yang berhembus lembut bagaikan mengusapi diriku ini dengan mempersembahkan lagu-lagu Broery Marantika yang lebih santai seperti Biarlah Bulan Bicara dan Jangan Ada Dusta Di Antara Kita secara berduet dengan Mama. Seterusnya, beberapa orang lagi dari kalangan rakan-rakanku turut menghadiahkan nyanyian mereka dengan memilih beberapa buah lagu yang dipetik dari VCD MTV-Karaoke yang aku bawa seperti lagu Widuri dan sebagainya. Disamping itu, kami turut dihiburkan oleh nyanyian dari Atuk Hasyim, penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah yang juga merupakan bekas penyanyi latar bagi filem Dayang Senandung dan pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Seniman Agung bagi negara kita yang tercinta, Malaysia ini. Walaupun beliau sudah berusia 70-an dan berstatus veteran, namun beliau masih mampu melontarkan suara yang masih merdu kedengaran di cuping telinga kami semua, dan beliau membuktikan bahawa beliau mampu melakukannya, berkat segala pengalaman yang telah sekian lama terhimpun di dada selama ini.
Tidak lama selepas itu, pandangan mataku terarah kepada satu sudut di mana terdapat sekumpulan manusia berkumpul mengelilingi seseorang di halaman hadapan Pusat Jagaan Nur Hasanah. Tanpa berlengah lagi, aku pun turut melangkah perlahan-lahan menuju ke tempat berkumpul tersebut, dan apabila aku semakin menghampiri tempat tersebut, maka makin jelas kelihatan akan siapakah identiti mereka yang berkumpul itu. Kelihatan Mama dan beberapa orang peserta program sedang menemubual Encik Latif Lim, bertanyakan tentang kisah silam beliau, serta punca mengapa beliau turut termasuk dalam kalangan mereka-mereka yang tersenarai dalam senarai para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah. Encik Latif Lim menyatakan bahawa, disebabkan kesilapan lampau beliau yang dahulunya bekerja dengan agensi ceti haram Ah Long dan kemudiannya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkannya patah kaki, isterinya terus meninggalkannya dengan membawa anak tunggal mereka berhijrah ke Hong Kong.
Di saat itu juga, aku dapat perhatikan wajah sayu Encik Latif Lim tatkala menatap potret mini perkahwinan beliau dengan bekas isterinya, yang kini tidak diketahui di manakah tempat tinggalnya sekarang. Bagi Encik Latif Lim, beliau sanggup berkongsi segala pengalaman kehidupannya ini kepada semua, agar kami tidak mengulangi segala kesilapan lampau yang telah beliau lakukan. Bagi beliau, ini merupakan kifarah dari Allah bagi menghapuskan segala noda dan dosa yang telah beliau lakukan sebelum ini. Apa yang menakjubkan kami ialah, semangat beliau yang tidak pernah luntur dalam mengharungi liku-liku hidup dan menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan penuh ketabahan serta redha akan ketentuan iradat-Nya. Untuk menenangkan serta memberikan sedikit suntikan motivasi kepada beliau, aku turut memberi sedikit perkongsian ilmu dan memberitahu beliau bahawa, dengan segala ilmu dalam bentuk pengalaman yang beliau berikan kepada kami semua, Allah akan memberikan ganjaran pahala yang tidak putus-putus buat beliau. Sabda Rasulullah S.A.W., diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud,
“Apabila seorang manusia mati, maka terputuslah amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan pahalanya) iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, atau anak yang soleh yang mendoakan untuknya.”
Setelah mendengar sedikit perkongsian ilmu yang diberikan ini, seraut wajah Encik Latif Lim yang sebelum ini bermuram durja, mulai mengukir senyuman dan beliau turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepadaku atas perkongsian ilmu itu tadi.
Akhirnya, saat-saat yang cukup mengharukan itu pun tiba; iaitu majlis penutupan program lawatan amal ke Pusat Jagaan Nur Hasanah serta pembahagian sumbangan serta cenderahati kepada para kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah itu sendiri. Selepas itu, kami semua bersalam-salaman dengan para kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah. Di kala itu, ketika aku mahu bersalaman dengan Atuk Hasyim, tidak semena-mena beliau mengalirkan air mata dan menangis semahu-mahunya tatkala beliau bersalaman denganku; situasi yang tidak pula berlaku ketika rakan-rakanku yang lain bersalaman dengan beliau. Mungkin beliau tidak sanggup melepaskanku pergi kerana bagiku sendiri, betapa pilunya perpisahan itu amat ku rasainya, terutamanya pabila langit yang mendung berarak kelabu, bagaikan turut sama berdukacita dengan perpisahan ini. Sesungguhnya telah begitu banyak perkara yang kami berdua kongsikan bersama dalam tempoh perkenalan yang cukup singkat ini.
“Atuk, Insya Allah kalau diberikan umur yang panjang, pasti kita akan bertemu lagi. Saya merasa bertuah dapat bersama dengan atuk walaupun dalam tempoh yang amat terhad ini, kerana seumur hidup saya, saya tidak pernah berpeluang untuk bermesra dengan kedua atuk saya samada di sebelah ibu mahupun ayah saya, kerana mereka berdua telah terlebih dahulu dijemput menghadap Ilahi, sewaktu saya masih kecil lagi”, ucapku lembut sambil menahan sebak yang begitu kuat mencengkam kalbuku ini kepada beliau. Namun mutiara air mata itu masih terus bergenang di kelopak matanya, kelihatan sayu memandang tepat ke mataku.
Sebelum berpisah, kami semua berpeluang untuk menikmati juadah makanan yang telah sama-sama kami usahakan sendiri sebentar tadi; iaitu masakan ubi kayu yang cukup enak dimakan begitu sahaja, mahupun dengan gula sebagai perisa pencecahnya. Beberapa pesanan yang cukup menyuntik semangat aku terima dari Mak Andak, yang memintaku untuk memikirkan semula keputusanku yang menarik diri dari menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Tentera Darat (PALAPES) sebelum ini, kerana bagi beliau adalah suatu kerugian bagiku kerana Mak Andak sendiri lebih tahu dan mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini kerana pernah berkhidmat sebagai Polis Tentera selama 20 tahun; bahawa begitu banyak manfaat yang bakal ku perolehi jika meneruskan dalam karier sebagai seorang Pegawai Askar Wataniah itu. Harapan murni beliau itu masih ku simpan rapi hingga kini, namun aku masih berbelah bahagi samada mahu memenuhinya atau sebaliknya.
Mama Mila pula memuji diriku, insan yang maha lemah ini, bahawa aku memiliki bakat sebagai seorang pemimpin yang versatile, kerana katanya aku mampu menjadi pemimpin samada dari sudut duniawi mahupun ukhrawi jua. Bagiku, segala pujian yang aku terima dari insan-insan yang mengenaliku ini, tidak akan menyebabkanku lalai dari mengingati-Nya, serta aku berlindung kepada Allah dari sifat-sifat mazmumah seperti ujub, riak dan takabbur kerana aku tahu, bahawa segala kelebihan serta bakat yang aku miliki ini, semuanya adalah anugerah dari Ilahi, sebagai pinjaman sementara dan menjadi medan untuk menguji samada hamba-Nya ini mampu mengatasi segala cabaran hawa nafsu yang menjahanamkan, ataupun tidak. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan bersama para peserta program, kakitangan serta seluruh penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah.
Para peserta Program Pemantapan Nilai Kemanusiaan, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Kampus Shah Alam bergambar kenangan bersama para kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah
Pepohon yang melambai-lambai longlai diiringi pawana dingin yang berhembus lembut, mengiringi perjalanan kami menuju ke tempat berkumpul untuk menaiki bas pulang ke kediaman masing-masing. Senyuman Encik Rosli, pemandu bas UiTM yang setia menunggu kehadiran kami tepat pada waktu yang dijanjikan, tidak mampu mengubat sendu di kalbuku, tatkala terpaksa berpisah dengan para penghuni dan kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, kerana walaupun keberadaan kita bersama cukup singkat dek kerana masa yang mencemburui kita, namun aku merasakan dan menganggap mereka semua seperti keluargaku sendiri. Sesungguhnya begitu banyak pengalaman yang amat berharga dan tidak ternilai harganya yang dapat aku kutip disepanjang program ini berlangsung, dan aku amat bersyukur kerana Dia memberikanku peluang untuk merasai sendiri pengalaman bersama ayahanda-ayahanda yang diabaikan oleh anakanda-anakanda mereka yang selama ini pernah ditatang dengan minyak yang penuh, namun natijahnya ialah, kendatipun pelbagai jasa baik yang telah ditabur oleh kedua ibu bapa mereka, namun akhirnya jasa mereka bukan sahaja dilupakan, malah seperti dibuang oleh anak-anak mereka sendiri. Bak kata peribahasa Melayu, “Susu Dibalas Tuba”. Melalui program ini, ianya turut mengajarku untuk lebih menghargai kedua orang tuaku, selagi mereka masih ada, masih punyai hayat untuk terus berada di sisi kita, jangan sesekali kita sia-siakan mereka yang banyak berjasa buat kita semua ini, semenjak kita dilahirkan sebesar tapak tangan orang dewasa, hinggalah menginjak ke alam remaja kini. Renungilah Sabda Rasulullah ini, Mafhumnya :
“Sangat celaka, sangat celaka, sangat celaka...! Kemudian ditanyakan : Siapa ya Rasulullah? Baginda Bersabda : ”Barangsiapa yang mendapati kedua orang tuanya atau salah satunya di masa lanjut usia, kemudian ia bisa masuk syurga”
Wallahua’lam Bissowaab.
ODEI ANAK
Odei anak nokeilah ko idaah
Nasusah mati yama no megentian dika
Odei anak nokeilah ko idaah
Nasusah tomod yamamu minaganak dika
Namun kelahiranmu adalah penghibur hati
Dibelai dan dimanja setiap hari
Di malam hari tidur tak berwaktu
Tapi tak mengapa kerna kau disayangi
Wahai anak apakah kau mengerti
Betapa deritanya Ibu yang mengandung
Aduhai anak apakah engkau tahu
Alangkah deritanya ibu melahirkanmu
Hari-hari sudah pun berlalu
Usiamu makin bertambah
Seorang ibu sudah semakin tua
Namun terus berkorban untuk sesuap rezeki
Agar sempurna hari depanmu
Kini kau dewasa, ibumu telah pergi
Waktu yang berlalu seakan memanggil
Sudahkah kau curahkan kasih sayangmu
Apakah terbalas segala jasanya
Syurga itu di bawah tapak kakinya
Hanyalah anak-anak yang soleh
Bisa memberikan kasih sayangnya
Hanyalah anak-anak yang soleh
Bisa mendoakan hari akhiratmu
{Kumpulan Raihan}
wah...program y menarik...sesungguhnya usaha kecil hafiz dgn giat bpersatuan itu memberi impak y besar dlm penbentukan peribadi dan dri...teruskan perjuangan....kadang-kala jika rasa lemah itu dtg btandang berlapangkan dada...jgn cepat melatah, konsisten dan fleksible dlam apa jua situasi...sesungguhnya kelemahan boleh menjadi kekuatan anda dan jgn lupa kekuatan itu juga amat mudah btukar mjadi kelemahan yang kamu sendiri tidak sedari...~ ~ ~
ReplyDelete