“Ya Rasulullah, aku ingin bertanya tentang diriku, dunia dan akhirat…”
************************************************************************************
Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah S.A.W. yang mana dia telah menyatakan tujuannya :
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang dapat menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.”
Maka Baginda S.A.W. telah Bersabda kepadanya :
“Tanyalah apa yang engkau kehendaki.”
************************************************************************************
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi orang yang alim.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Takutlah kepada Allah maka engkau akan menjadi orang yang alim.”
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi orang yang paling kaya.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Jadilah orang yang yakin pada diri, maka engkau akan menjadi orang yang paling kaya.”
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi orang yang adil.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih kepada dirimu sendiri, maka jadilah engkau seadil-adil manusia.”
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi orang yang paling baik.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat, maka engkau akan menjadi sebaik-baik manusia.”
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi insan yang istimewa di sisi Allah.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Banyakkan Zikrullah, nescaya engkau akan menjadi orang yang istimewa di sisi Allah.”
Dia berkata :
“Aku mahu disempurnakan imanku.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Perelokkan akhlakmu, nescaya imanmu akan sempurna.”
Dia berkata :
“Aku mahu termasuk dalam golongan Muhsinin (orang yang baik).”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak merasa begitu, sekurang-kurangnya yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau, maka dengan cara ini engkau akan termasuk dalam golongan Muhsinin.”
Dia berkata :
“Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan, maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat.”
Dia berkata :
“Aku mahu berjumpa dengan Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Bersihkan dirimu daripada najis dosa, nescaya kamu akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa.”
Dia berkata :
“Aku mahu dihimpun pada Hari Qiamat di bawah cahaya.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Jangan menzalimi seseorang, maka engkau akan dihitung pada Hari Qiamat di bawah sinaran cahaya.”
Dia berkata :
“Aku mahu dikasihi oleh Allah pada Hari Qiamat.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain, nescaya Allah akan mengasihimu di Hari Qiamat.”
Dia berkata :
“Aku mahu dihapuskan segala dosaku.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Banyakkan beristighfar, nescaya akan dihapuskan segala dosamu.”
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Jangan mengesyaki sesuatu perkara kepada orang lain (bersangka baik), nescaya engkau akan menjadi semulia-mulia insan.”
Dia berkata :
“Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Sentiasa menyerah diri (tawakkal) kepada Allah, nescaya engkau akan menjadi segagah-gagah manusia.”
Dia berkata :
“Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas), nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
Dia berkata :
“Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya, maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.”
Dia berkata :
“Aku mahu diselamatkan dari Kemurkaan Allah di Hari Qiamat.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Jangan marah kepada orang lain, nescaya engkau akan terselamat daripada Kemurkaan Allah dan Rasul-Nya.”
Dia berkata :
“Aku mahu diterima segala permohonanku.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Jauhilah makanan yang haram, nescaya segala permohonanmu akan diperkenankan oleh-Nya.”
Dia berkata :
“Aku mahu agar Allah menutup segala keaibanku pada Hari Qiamat.”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Tutuplah keburukan orang lain, nescaya Allah akan menutup keaibanmu di Hari Qiamat.”
Dia berkata :
“Siapakah yang akan terselamat daripada dosa?”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Insan yang sentiasa mengalir air matanya dengan penuh penyesalan, mereka yang tunduk kepada kehendak-Nya, dan mereka yang ditimpa kesakitan.”
Dia berkata :
“Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Elok budi pekerti, merendah diri dan sabar dengan ujian (bala).”
Dia berkata :
“Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”
Dia berkata :
“Apakah yang meredakan Kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui orang lain) dan menghubungkan kasih sayang.”
Dia berkata lagi :
“Apakah yang akan memadamkan api neraka pada Hari Qiamat?”
Baginda S.A.W. menjawab :
“Sabar di dunia dengan bala dan musibah.”
No comments:
Post a Comment