12 Rabiulawal adalah detik lahirnya seorang kekasih. Kekasih saya, kekasih anda, kekasih kita semua, Kekasih Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Jom, luangkan sedikit masa kita untuk memperingati sebuah kisah Baginda:
Ketika hayatnya, Rasullah tidak pernah terlepas pergi memberikan makanan pada seorang Yahudi buta yang bermukim di sudut pasar. Ketika memberikan makanan kepadanya, Rasulullah tidak henti-henti akan mendengar cercaan, hinaan dan sumpah seranah Yahudi tua itu. Sedangkan, si Yahudi itu tidak tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan orang yang dibencinya itu.
Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar datang bertemu anaknya Aisyah yang merupakan isteri baginda. Abu Bakar bertanyakan Aisyah apakah kelaziman yang Rasulullah tidak pernah abaikan. Aisyah meyakinkan bahawa tiada satupun kelaziman baginda yang tidak diketahui oleh Abu Bakar kerana ayahnya itu adalah sahabat baik suaminya Muhammad. Namun ada satu perkara yang dikhuatiri Aisyah. Lalu Aisyah mengkhabarkan perihal Rasulullah yang setiap hari membawa makanan buat si Yahudi buta itu.
Keesokannya, Abu Bakar membawa makanan menuju ke pasar dengan niat untuk menjadi penyambung kepada kelaziman Rasulullah itu. Sebaik dihulurkan makanan kepada Yahudi buta itu, dia menolak makanan itu dan berkata:
"Kau bukan orang yang membawakan makanan buatku setiap hari."
Abu Bakar kehairanan lalu bertanya:
"Apa bezanya?"
Yahudi buta itu menjawab:
"Setiap kali dia datang, dia tidak pernah akan menyusahkan aku untuk mengunyah makanan ini. Dia akan menghaluskan makanan itu untukku dan kemudian menyuapkan terus ke mulutku."
Abu Bakar menangis di saat itu juga.
Lalu Abu Bakar bertanya:
"Tahukah kau siapakah orang itu, wahai si tua?"
Yahudi itu menjawab tidak.
Lalu Abu Bakar membalas:
"Dengan nama Tuhanku, juga Tuhannya, dialah Muhammad, orang yang kau keji-keji selama ini. Dan Muhammad itu sudahpun meninggal dunia."
Dengan nama Allah, di saat itu juga lelaki Yahudi buta itu menangis semahu-mahunya. Dan terus, dengan disaksikan oleh Abu Bakar, si Yahudi itu melafazkan syahadah. Tanda Tuhannya kini sama dengan Muhammad, Abu Bakar dan muslimin sekeliannya.
Ya Rasulullah, terima kasih atas segala pengorbanan yang telah engkau curahkan buat umatmu sekalian. Betapa agungnya peribadimu duhai Kekasih Allah. Hati ini sangat cinta dan rindu ingin bertemu dirimu. Semoga kita dapat berjumpa di akhirat kelak, InsyaAllah.
rasa mhu nangis aku baca ceriy=ta nie
ReplyDelete