Friday, January 8, 2010

BUDIMU YA RASULULLAH

12 Rabiulawal adalah detik lahirnya seorang kekasih. Kekasih saya, kekasih anda, kekasih kita semua, Kekasih Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Jom, luangkan sedikit masa kita untuk memperingati sebuah kisah Baginda:


Ketika hayatnya, Rasullah tidak pernah terlepas pergi memberikan makanan pada seorang Yahudi buta yang bermukim di sudut pasar. Ketika memberikan makanan kepadanya, Rasulullah tidak henti-henti akan mendengar cercaan, hinaan dan sumpah seranah Yahudi tua itu. Sedangkan, si Yahudi itu tidak tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan orang yang dibencinya itu.


Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar datang bertemu anaknya Aisyah yang merupakan isteri baginda. Abu Bakar bertanyakan Aisyah apakah kelaziman yang Rasulullah tidak pernah abaikan. Aisyah meyakinkan bahawa tiada satupun kelaziman baginda yang tidak diketahui oleh Abu Bakar kerana ayahnya itu adalah sahabat baik suaminya Muhammad. Namun ada satu perkara yang dikhuatiri Aisyah. Lalu Aisyah mengkhabarkan perihal Rasulullah yang setiap hari membawa makanan buat si Yahudi buta itu.

Keesokannya, Abu Bakar membawa makanan menuju ke pasar dengan niat untuk menjadi penyambung kepada kelaziman Rasulullah itu. Sebaik dihulurkan makanan kepada Yahudi buta itu, dia menolak makanan itu dan berkata:

"Kau bukan orang yang membawakan makanan buatku setiap hari."

Abu Bakar kehairanan lalu bertanya:
"Apa bezanya?"

Yahudi buta itu menjawab:
"Setiap kali dia datang, dia tidak pernah akan menyusahkan aku untuk mengunyah makanan ini. Dia akan menghaluskan makanan itu untukku dan kemudian menyuapkan terus ke mulutku."

Abu Bakar menangis di saat itu juga.

Lalu Abu Bakar bertanya:
"Tahukah kau siapakah orang itu, wahai si tua?"

Yahudi itu menjawab tidak.

Lalu Abu Bakar membalas:
"Dengan nama Tuhanku, juga Tuhannya, dialah Muhammad, orang yang kau keji-keji selama ini. Dan Muhammad itu sudahpun meninggal dunia."

Dengan nama Allah, di saat itu juga lelaki Yahudi buta itu menangis semahu-mahunya. Dan terus, dengan disaksikan oleh Abu Bakar, si Yahudi itu melafazkan syahadah. Tanda Tuhannya kini sama dengan Muhammad, Abu Bakar dan muslimin sekeliannya.

[Dipetik dari Blog Kak Sarah]



Ya Rasulullah, terima kasih atas segala pengorbanan yang telah engkau curahkan buat umatmu sekalian. Betapa agungnya peribadimu duhai Kekasih Allah. Hati ini sangat cinta dan rindu ingin bertemu dirimu. Semoga kita dapat berjumpa di akhirat kelak, InsyaAllah.

Monday, January 4, 2010

LA TAHZAN...JANGAN BERSEDIH...


Musibah itu petanda Kasih Sayang Allah

Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka,maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): "Janganlah kamu merasa sedih;dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh)Syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu [30].Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat;di dalamnya kamu memperolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi (pula)di dalamnya apa yang kamu minta [31]. Sebagai hidangan(bagimu)dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang [32]."

(Surah Fussilat, Ayat 30-32)

Firman Allah S.W.T. lagi :

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, supaya mereka menjadi baik serta betul."

(Surah Al-Baqarah, Ayat 186)

Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Apabila Allah telah menyintai hamba-Nya, maka Allah turunkan bala ke atas hamba-Nya itu dan Allah akan ikatkan bala-Nya atas hamba tersebut. Apabila hamba itu berdoa, maka para malaikat pun berkata : Wahai Tuhanku, sampaikan hajat hamba-Mu itu. Allah menjawab : Usah campuri urusan hamba-Ku itu. Sesungguhnya Aku cinta dan sayang mendengar suaranya berdoa dan bermunajat. Apabila hamba itu berkata : Wahai Tuhanku! Maka Allah menjawab : Selamat dan bahagialah wahai hamba-Ku. Tidak kamu seru sesuatu melainkan Aku perkenankan buatmu. Dan tidak engkau pohonkan sesuatu daripada-Ku, melainkan Aku berikan dan perkenankan buatmu. Adakalanya Aku simpan di sisi-Ku sesuatu yang lebih baik buatmu. Dan adakala Aku hindarkan bala atasmu dengan doa tersebut, iaitu (dihindarkan) dari cubaan dan bala yang lebih besar dari yang tersebut."

Nota : Allah S.W.T.itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Dia tidak akan sesekali menganiaya hamba-Nya, malah mahu memastikan para hamba-Nya beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat. Musibah yang mendatangi kita adalah nasihat atau peringatan Allah S.W.T.supaya para hamba-Nya tidak lalai atau lupa dari mengingati-Nya. Melalui musibah, kita akan sentiasa menginsafi diri dan berusaha mendekati-Nya, di samping meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Oleh itu, terjaminlah keselamatan kita di dunia dan di akhirat.

"Dalam sukar... hitunglah kesyukuranmu...
Dalam senang... awasilah kealpaanmu...
Setitis derita melanda... segunung kurniaan-Nya"

(Lukisan Alam, Hijjaz)

#La Tahzan; Innallaha Ma'ana#
#Jangan Bersedih; Sesungguhnya Allah (sentiasa ada) bersama-sama kita#