Siti Amynur terima keputusan UPSR depan jenazah ibu
Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.
Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan kaum keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi semalam.
"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," kata Siti Amynur Ain Putri dengan linangan air mata kepada Bernama.
Pelajar itu kini yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.
Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.
Pada April lepas, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu patah kaki dalam kemalangan. Ekoran itu, keluarganya terpaksa hidup dengan bantuan kewangan kerajaan RM400 sebulan.
Setiap hari sejak berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur Ain Putri kerana pelajar itu tidak balik ke rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur Ain Putri meninggal dunia, berkata: "Siti merupakan ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang.
Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin.
"Saya nekad untuk sampaikan sendiri keputusan ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya di kebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said," katanya.
Beliau dengan ditemani seorang guru hampir sahaja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur Ain Putri menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.
Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan murid Tahun 6 itu, Noreha berkata, suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: "Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang". Noreha yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 24 tahun, kini berusaha membantu Siti Amynur Ain Putri mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.
"Siti ini tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad selama dua minggu sebelum meninggal dunia. Semasa Siti patah kaki pada April lepas, dia mendapat cuti sakit selama dua bulan tetapi masuk bulan kedua, dia berazam untuk datang ke sekolah," katanya. - BERNAMA.
Sesudu bubur untuk ibu
"MALAM itu saya lihat ibu membuka penutup tin yang diletakkan di penjuru rumah. Ibu menggoncang-goncang dan meraup butiran beras di dalam tin itu. Hanya ada dua tin susu sahaja yang masih berbaki. Beras sudah hampir habis rupanya. Pada siapa ibu hendak mengadu? Ayah? Saya tahu, ibu tidak mahu memikirkan perkara itu.
"Ibu mengerling ke arah kami yang masih belum makan. Saya lihat ibu ambil sedikit beras dari dalam tin susu itu, kemudian memasukkannya ke dalam periuk. Air dituang sehingga penuh. Setelah hampir setengah jam, ibu memasukkan ke dalam sepuluh buah pinggan yang sudah tersedia.
"Bubur nasi itu berasap. Seorang demi seorang anaknya dipanggil sehingga adik kami yang paling bongsu. Makanlah kami sepuluh beradik ini sehingga pinggan licin bersih. Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya.
"Pagi, kami bangun untuk bersarapan dan saya perhatikan, ibu menyalakan api untuk memasak. Ibu mengambik baki beras di dalam tin susu. Sekali lagi ibu membuat bubur yang cair.
"Seperti semalam juga, kami menghirup bubur sehingga habis. Bubur itu, walaupun cair, saya rasakan begitu enak sekali. Kami mengadu tidak cukup tetapi saya lihat ibu menyibukkan dirinya membasuh pinggan dan periuk. Ibu seperti tidak mahu melayan permintaan kami.
"Tengah hari itu pun begitu. Bubur nasi yang cair untuk kami sepuluh beradik. Setiap kali waktu makan, saya perhatikan ibu pasti menadah tangan bersyukur anak-anaknya tidak kebuluran. Mungkin ibu bersyukur hari ini kami dapat menyambung nyawa untuk sehari dua lagi. Mungkin juga ibu bersyukur kerana, walaupun hidup miskin dan susah, tetapi kami tidak meminta-minta. Kemudian, saya lihat ibu berpaling ke belakang.
"Masuk hari ketiga, kakak kami yang sulung memandang ke arah ibu yang sedang duduk membelakangi kami adik beradik. Saya tidak menyangka, seperti saya, kakak juga perasan ibu akan membelakangkan kami semasa menikmati bubur cairnya. Yang kedengaran hanya bunyi sudu bersentuhan dengan mangkuk.
"Saya tidak tahu kenapa. Adakah ibu mahu makan sendirian dan tidak mahu diganggu? Atau, ibu tidak sampai hati menatap wajah kami yang sedang kelaparan?
"Perlahan-lahan kakak mengengsotkan badannya mendekati ibu. Alangkah sedihya kakak apabila melihat rupa-rupanya ibu hanya melaga-lagakan sudu di dalam mangkuknya yang sebenarnya kosong. Tiada sebutir bubur nasi pun di dalam mangkuk ibu!
"Kakak segera berbisik kepada kami yang duduk di sekelilingnya. Adik-adik yang lain turut berbisik cerita yang sama sehinggalah kepada yang bongsu. Kamudian kami seramai sepuluh beradik sepakat menghadiahkan sesudu bubur nasi untuk ibu.
"Kami sedih. kami tahu ibu sedang kelaparan, tetapi ibu tidak mahu memberitahu kami. Ibu berkorban untuk kami, ibu sengaja melaga-lagakan sudunya dengan mangkuk bagi membohongi kami seolah-olah ibu juga sedang menikmati bubur nasi yang dimasaknya.
"Setelah semua menghadiahkan sesudu bubur, saya lihat kakak mengengsot mendekati ibu. Kemudian kakak menghulurkan semangkuk bubur cair yang kami kongsi bersama tadi.
"Makanlah Mak!" kata kakak, perlahan.
"Ibu berpaling memandang kakak. Tanpa menyentuh mangkuk yang dihulurkan, ibu bingkas bangun, kemudian terus berlari ke bilik dan menutup pintu. Kami hanya mampu melihat titisan-titisan air mata ibu berciciran di lantai sehingga ke pintu bilik..."
Saya terus mematikan radio. Saya tidak sanggup mendengarnya lagi. Dada saya sebak, mata saya digenangi air. Cerita seorang pendengar kepada stesen radio berkenaan bersempena Hari Ibu pada tahun lalu itu terlalu sedih. Dan, saya masih mampu mengingatinya walaupun setahun sudah berlalu.
Alangkah bertuahnya pendengar tadi kerana mempunyai seorang ibu yang setabah ibunya. Kepada semua pembaca Mastika, selamat menyambut Hari Ibu.
Zulkarnain Zakaria, Mastika Mei 2009
Jangan mengalah...teruskan!
Saya tenung wajah Farhan dalam-dalam. Begitu nyenyak dia tidur. Memang mula-mula niat saya nak kejutkan, tapi mengenangkan dia agak kepenatan, saya biarkan.
Perlahan-lahan saya selimutkan - anak ketiga saya daripada lima beradik itu.
Meskipun fizikal Farhan - kini usianya 6 tahun - tidak seperti kanak-kanak lain, dia tetap lincah bermain bersama adik-adiknya yang lain.
Farhan disahkan doktor sebagai kanak-kanak istimewa - Sindrom Down.
Namun tak pernah saya bezakan kasih sayang di antara dia dan adik beradiknya yang lain.
Takdir juga tak pernah saya salahkan. Saya terima kurniaan Allah dengan rela hati kerana yakin Allah tidak mnjadikan sesuatu itu sia-sia.
Saya tenung semula wajah Farhan. Saya perhatikan ombak dadanya, terasa amat sayu. Masih segar dalam ingatan, beberapa minggu lalu, sekolah Farhan menganjurkan temasya sukan.
Farhan turut serta menyertai pertandingan lumba lari pada majlis yang julung kali diadakan itu. Dia cukup gembira dan beria-ia membuat persiapan berminggu-minggu sebelum tiba harinya. Hari-hari dia bercerita tentang pesta itu.
"Ann... Annn... akan menang Ma!" katanya berkali-kali pada saya.
"Farhan buat betul-betul nanti, ya sayang!" saya berkata sambil mencium pipi dan menepuk-nepuk bahunya.
Farhan hanya mengangguk-ngangguk, tersenyum sambil memandang tepat wajah saya. Dia kemudian mencium kedua-dua pipi saya.
Entah kenapa saya berasa cukup terharu dengan perlakuannya itu - kali pertama dia mencium saya. Biasanya saya yang mencium pipinya. Terdetik seketika di hati, mungkin Farhan kian membesar dan mula faham erti kasih sayang.
Tibalah waktu yang ditunggu-tunggu. Farhan menarik tangan saya ke tempat mendaftar. Saya semakin kagum dengan Farhan kerana dia kini kerap dapat melakukan tindakan dengan betul.
Selesai mendaftar, saya sekali lagi memberinya perangsang.
"Mama akan sentiasa sokong Farhan. Menang atau kalah Mama tak kisah. Yang penting Farhan mencuba, okey sayang!" saya membisikkan ungkapan itu di telinganya.
Sambil memerhatikannya dari tempat duduk berdekatan dengan dengan trek perlumbaan, saya lihat sembilan kanak-kanak senasib dengan Farhan segak melangkah ke tengah padang.
Masing-masing bersedia untuk acara 100 meter itu. Semangat yang mereka tunjukkan, membuatkan hadirin terharu.
"Ke garisannnn... sedia!" Tammmm... sembilan kanak-kanak itu dilepaskan.
Tanpa disangka, di awal larian, kaki Farhan tersadung. Tampak Farhan gagal mengawal imbangan badannya lalu tersungkur di trek.
Dia cuba bangun, tapi tak berdaya. Air matanya mula mengalir. Farhan menangis!
Dia ketinggalan, sedang yang lain sudah jauh ke depan.
Tiba-tiba kelapan-lapan peserta berhenti berlari. Seorang demi seorang berpatah balik mendapatkan Farhan.
Seorang daripada mereka membongkokkan badannya, mencium pipi Farhan. Dia kemudian dengan dibantu tujuh yang lain mengangkat Farhan. Sambil seorang mengibas-ngibas pakaian Farhan, seorang lagi mengesat air mata di pipi Farhan. Yang lain menepuk-nepuk belakang Farhan, seolah-olah berkata : "Jangan mengalah... mari kita teruskan!"
Tanpa sedar, hadirin mengalirkan air mata. Kesemua mereka meneruskan acara, berjalan pantas ke garisan penamat sambil berpegangan tangan.
Saya menerpa ke arah Farhan dan memeluknya erat. Sambil mengucup dahinya saya mengucap syukur di atas kurniaan-Nya yang cukup indah ini.
"Aaaaan sayang Mama. Kami semua menang!" katanya pelat, sekali lagi mencium pipi saya sementara kedua-dua belah tangannya memeluk erat leher saya.
Penonton terdiri daripada ibu bapa, guru-guru dan pelajar masing-masing bangun dan memberikan tepukan gemuruh, bersorak gembira, kagum dengan tingkah laku anak-anak istimewa ini.
Semuanya tersentuh melihat perilaku spontan kanak-kanak istimewa itu. Tersangat tinggi pengajaran yang kita peroleh daripada kejadian itu.
Keadilan itu masih ada...
S
RM 20 untuk ayah
Amin terdengar bunyi ketukan pintu. Ditutupnya televisyen, cepat-cepat dia berlari dan tombol pintu dipulas.
"Ye! Ye! Ayah balik! Ye! Ye! Ayah balik!" jerit Amin riang apabila melihat ayahnya pulang. Tanpa membuang masa Amin menolong bawakan briefcase ayahnya. Dia dongakkan kepala menatap wajah ayah yang keletihan itu sambil tangan ayah digenggam erat.
"Ayah... ayah kerja kat pejabat dapat berapa ringgit sejam?" kanak-kanak berusia tujuh tahun itu tiba-tiba bertanya.
"Itu bukan urusan Amin, buat apa sibuk-sibuk nak tanya?" terkejut Amin apabila ayahnya meninggikan suara. Mata si ayah bulat merenungnya. Wajahnya masam.
"Amin tau ayah penat, tapi Amin cuma nak tau aja," Amin merayu manja.
Si ayah diam. Dia duduk di sofa, memejamkan mata memikirkan masalah kerja dan kerugian syarikat yang perlu ditebus semula. Pertanyaan Amin tadi langsung tidak diendahkan.
"Cakaplah ayah, berapa ringgit..." tanya Amin yang sejak tadi menunggu jawapan daripada ayahnya.
Si ayah mula naik radang. Ditenungnya Amin dan dia menengking, "RM 20 sejam! Apasal nak tau sangat ni? Hah?" jerkah si ayah. Dia melepaskan genggaman tangan Amin dengan kasar.
"Oh, RM 20. Hmmm... ayah, kasi Amin RM 10, boleh?" si anak merayu lagi.
Si ayah makin baran. Dihempasnya surat khabar yang baru hendak dibaca dan... "Ooo... inilah sebabnya kamu sibuk nak tanya gaji ayah, ya? Duit, duit, duit! Kamu nak buat apa dengan RM 10 tu? Nak beli mainan? Nak beli keropok? Air gas? Hei... ayah penat-penat pergi kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir pulak, ya! Dah, jangan nak mengada-ngada, pergi tidur! Pergi!" si ayah menengking-nengking.
Amin tunduk memandang lantai, tidak berani dia memandang wajah ayah yang sedang menyinga. Dari petang hingga pukul 10.30 malam Amin menunggu, ini yang dia dapat. Amin melangkah perlahan menuju bilik, tangan kiri memegang bucu baju tidurnya manakala lengan kanan mengesat-ngesat air jernih yang bertakung di kelopak mata.
Lima minit kemudian si ayah berdiri di muka pintu bilik Amin, menjengukkan kepalanya ke dalam. Amin terbaring, masih belum tidur. Matanya terkedip-kedip melihat ayah menghampiri katilnya.
"Amin nak duit, ya?" tanya si ayah yang dihambat rasa bersalah.
Amin mengangguk.
"Nah... jangan beli yang bukan-bukan tau!" ucap si ayah lembut sambil mengusap-usap lembut rambut Amin. Sekeping not merah diletakkan ke telapak tangan anaknya itu.
"Ye! Ye! terima kasih ayah! Terima kasih," Amin bersorak riang dan mencium pipi ayahnya beberapa kali. Matanya segar. Dia mengangkat bantalnya kemudian mengeluarkan sepuluh keping not RM 1 yang sudah renyuk.
Dah ada RM 10, minta RM 10 lagi?
Si ayah yang baru sejuk hatinya, terus naik berang, rasa macam hendak ditampar saja anaknya itu.
"Ni duit apa pulak ni? Kamu curi, ya? Siapa ajar kamu mencuri ni?! Hah?"
"Ttt... tak," jawab si anak terketar-ketar.
"Amin tak curi," Amin geleng-gelengkan kepalanya sambil tertunduk.
"Ddd... dd... duit ni Amin kumpul daripada duit belanja sekolah yang ayah kasi tiap-tiap hari. Amin mintak lagi RM 10 sebab Amin tak cukup duit. Tapi sekarang Amin dah ada RM 20, cukup dah," terketar-ketar Amin menjelaskan.
"Banyak ni! Kamu nak beli apa sampai RM 20?" si ayah bertanya dengan bengis.
"Aaa... Aaa... Amin nak beli sejam daripada masa ayah kat pejabat tu. RM 20, kan? Esok Amin nak ayah balik awal," Amin bersuara dan menghulurkan RM 20 itu kepada ayahnya.
Si ayah terdiam. Riak wajahnya serta-merta berubah, tubuh Amin didakap erat-erat, air matanya menitis di pipi. Lantas dicium anak tunggal hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya itu, dengan penuh kasih sayang, dengan penuh rasa bersalah.
"Ayah, kita dah lama tak makan bersama, kan? Amin rindu sangat nak makan malam dengan ayah," tambah Amin sambil menatap sayu wajah ayahnya.
semua cerita2 di ats sangat menyentuh hati..terima kasih kerana berkongsi sesuatu yang menarik untuk di jadikan pengajaran...!=)
ReplyDeleteTerima kasih banyak diatas kesudian saudari melawati laman blog saya serta menilai kisah-kisah yang saya coretkan di sini. sama-samalah kita berkongsi ilmu2-Nya Yang Maha Luas ini. Semoga Allah merahmati anda :)
ReplyDeleteMENYANTUNI ANAK YATIM
ReplyDeleteSabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :
"Saya dan penanggung beban hidup anak yatim itu di Syurga seperti begini," (Seraya Baginda menunjukkan kedua jarinya : jari telunjuk dan jari tengah)
(Hadith Riwayat Bukhari)
MEMBANTU JANDA DAN ORANG MISKIN
Sabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :
"Orang yang berusaha membantu para janda dan faqir miskin sama halnya dengan orang yang berjihad di jalan Allah" dan Saya (Perawi Hadith) mengira bahawa Baginda berkata : "Dan seperti orang melakukan Qiyamullail yang tidak pernah bosan, dan seperti orang berpuasa yang tidak pernah berbuka"
(Hadith Riwayat Bukhari)