Wednesday, November 28, 2012

Never Give Up!





"Obstacles are Power Generators"


YBhg Tan Sri Dato’ Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, FASc, PEng.

P.S.M., S.S.A.P., D.J.M.K., D.S.P.N., D.J.N., D.S.M., B.C.N.

Naib Canselor UiTM
   
Semangat Juang Tan Sri VC


Dari seorang kanak-kanak jalanan yang nakal hingga ke menara gading seterusnya menjawat jawatan tertinggi dalam pengurusan sebuah universiti tersohor, itulah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, FASc, PEng. Beliau telah ditakdirkan Allah S.W.T. untuk berjaya. Daripada seorang insan kerdil, yang dahulunya hidup dalam serba kepayahan dan terpaksa mengharungi pelbagai liku kesempitan kehidupan, kini beliau telah menjadi bukti dalam lipatan sejarah kerana berjaya meraih satu pencapaian yang tertinggi dalam sebuah institusi pengajian tinggi. Pencapaian tertinggi ini bukan sahaja untuk dirinya dan keluarganya malahan ia kejayaan dan kebanggaan untuk seluruh masyarakat umum dan warga UiTM khususnya.

Beliau berpegang kepada falsafah iaitu obstacles are power generators bermaksud “Cabaran adalah penjana kuasa.” Sepanjang pengalaman yang lalu beliau sentiasa diuji dan dicabar serta berdepan dengan pelbagai halangan. Namun segala ujian dan kesukaran itu mampu ditangani dengan baik. Beliau seorang yang berpegang kepada prinsip dan mempertahankan apa yang beliau percaya. Sikapnya yang tegas dan berdedikasi telah meletakkan UiTM sebagai sebuah universiti unggul bertaraf dunia.

Di antara sumbangannya yang besar ialah mencetuskan idea inovasi dan seterusnya mewujudkan peluang baru dalam program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB). Kejayaan program ini yang telah memberi peluang pendidikan percuma kepada golongan miskin dan luar bandar dari kalangan masyarakat Bumiputra adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Sekiranya ibu Tan Sri masih ada, beliau pasti akan berbangga dengan pencapaian anaknya kini. Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, banyak pesanan ibu yang membimbingnya hingga kini terutama ketika peristiwa dia dipukul hingga berdarah bibirnya. Ibunya menjerit dalam dialek Pulau Pinang siapakah yang mencederakannya? Dan jika beliau tidak bersalah, beliau mesti bangun melawan kembali demi untuk mendapatkan hak kebenarannya. Dengan pengalaman sebagai ibu yang gigih membesarkan sembilan orang anak-anak, pastinya ibunya tidak akan membiarkan anak sulungnya asing dari undang-undang kehidupan yang mencabar di luar. Padanya dalam realiti hidup ini hanya yang berjiwa kental akan berjaya.

Berbekalkan semangat waja ibunya yang sangat dikasihi, Tan Sri terpaksa menghabiskan usia mudanya bekerja keras di jalanan untuk menyara kehidupan diri dan keluarganya. Namun pengalaman itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Ia menjadi batu loncatan untuknya sebagai street smart kid (kanak-kanak jalanan yang bijak) untuk beliau mempelajari, mengetahui dan mengurus kehidupan dengan lebih baik. Pengalaman sebagai pemandu pelancong kepada tentera Amerika yang berkhidmat di Vietnam dan pelancong-pelancong asing lain membawa mereka melawat tempat-tempat makan yang menarik, tempat bersejarah dan mengenali budaya tempatan sekitar Pulau Pinang, telah banyak meningkatkan kemahiran bahasa Inggerisnya.

Beliau telah berkawan dengan kanak-kanak berbangsa Cina dan telah mempelajari Bahasa Hokkien. Beliau juga meminati filem Hindustan dan sukan tinju Thai, Muay Thai. Beliau meneruskan minatnya dan berlatih bersungguh-sungguh hingga berjaya memenangi pertandingan tinju. Wang hasil dari kemenangan diserahkan kepada ibunya.

Semasa bekerja sambilan di sebuah kedai gunting rambut beliau bijak menggunakan masa lapang untuk membaca majalah Readers Digest. Secara tidak langsung memperbaiki penguasaan Bahasa Inggerisnya beliau.

Pada suatu hari, nasibnya telah berubah. Seorang lelaki Melayu yang menyaksikan perlawanan tinju telah memilihnya dan membantunya mengisi borang untuk memohon masuk ke Institut Teknologi MARA (ITM). Di sinilah bermulanya perubahan nasib beliau. Apabila menerima surat tawaran kursus Pra Diploma, ibunya tidak mempunyai apa-apa walaupun sebuah beg untuk pakaian. Untuk menghantarnya ke UiTM, ibunya terpaksa meminjam wang dan menggunakan pakaian yang didermakan orang. Beliau melangkah kaki ke menara gading tanpa menyedari inilah nasib yang telah ditentukan Allah S.W.T. Ianya menjadi detik bersejarah yang akhirnya mengubah destininya selama-lamanya.

Kehidupannya sebagai seorang pelajar penuh rintangan dan tidak sama seperti pelajar-pelajar lain. Beliau terpaksa bekerja di tapak pembinaan untuk menyara pengajian dan menanggung adik-adiknya. Akhirnya beliau gagal buat kali pertama.

Semasa pulang ke kampung dengan penuh kesedihan dalam keretapi, beliau telah disapa oleh seorang lelaki budiman yang lengkap berbaju melayu hitam dan bersongkok segak. Setelah mendengar rintihan beliau, lelaki melayu itu bertanya empat soalan yang memberi kesan yang mendalam dalam hidupnya.

Adakah kamu sembahyang?

Adakah kamu percaya kepada Tuhanmu?

Adakah kamu sayangkan ibumu?

Adakah kamu ingin membantu kanak-kanak miskin sepertimu, di masa hadapan?

Jawapan beliau adalah Ya kepada semua soalan yang telah diajukan.

Akhirnya keretapi sampai ke Bagan Serai. Melalui nasihat yang diterimanya dari lelaki budiman itu, beliau memahami semua soalan-soalan itu dan itu membuatnya terus bersemangat dan tidak menoleh ke belakang lagi. Siapa sahaja yang diajukan pertanyaan sebegini akan berfikir panjang untuk menghargai dan lebih memahami erti kehidupan ini.

Mengetahui kesungguhan dan masalah yang dihadapi, seorang pensyarah Fiziknya yang berbangsa Cina bernama Miss Tan bersetuju menawarkan bantuan kewangan untuk beliau meneruskan pengajiannya. Beliau kemudiannya diberi peluang kedua yang istimewa, terpulang kepadanya menggunakan dengan sebaik mungkin.

Menurut beliau, setiap PINTU yang bertanda ‘PUSH’ merupakan satu peluang, ia adalah pintu kepada segala kejayaan. Jika anda tidak membukanya bermakna anda tidak membuat apa-apa untuk diri anda.

Dalam kalangan pelajar universiti hari ini, beliau seorang yang mesra pelajar dan dikenali sebagai ayahanda di laman sosialnya yang mencecah 55,000 orang rakan Facebook. Beliau sebenarnya seorang yang mudah didekati oleh golongan pelajar. Beliau sedia menerima idea baru dan seorang pendengar yang baik kepada semua masalah yang dihadapi pelajar.

Dalam usianya yang mencecah 60 tahun ini, beliau amat aktif dan kekal bersemangat. Beliau juga amat bertuah kerana mempunyai isteri yang penyayang iaitu Prof. Puan Sri Datin Sri Dr. Hanizah Abdul Hamid, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM. Mereka dikurniakan tiga orang anak perempuan.

Selain mempunyai PhD dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University Sussex, United Kingdom, beliau turut memiliki dua sarjana serentak dalam Kejuruteraan Awam dan Ekonomi dari Colorado State University di Amerika Syarikat. Pada tahun 2011, Universiti Stuttgart, Jerman telah menganugerahkan beliau Ijazah Doktor Kehormat.

“Destini telah mendorong saya ke jalan yang betul.......selebihnya saya berusaha sedaya mungkin untuk mencorakkan masa depan saya.”
Sebagai tokoh ternama yang berjawatan tinggi, beliau tidak terkecuali untuk berdepan dengan pelbagai pihak. Beliau tetap bertahan dan berpegang kepada prinsip yang betul. Ini adalah kesan pengalaman hidupnya yang telah lama berjuang di gelanggang kehidupan yang mencabar sebelum ini. Beliau turut memberi nasihat berpandukan prinsip Muay Thai yang diminatinya bahawa seseorang pejuang itu tidak akan berundur dari sesebuah gelanggang sehinggalah tamat perlawanan.
Beliau juga percaya golongan muda hari ini perlu mendengar dan menerima nasihat yang baik dengan pendekatan yang betul, disamping mengamalkan teknik pemikiran yang strategik.
Hakikatnya terdapat banyak kritikan dan pertembungan pendapat dalam kerjayanya namun segalanya ditempuh dengan semangat juangnya yang kental dan tidak mengenal erti kalah.
  
Sumber : THE STAR 18 Nov 2012

******************************





Firman Allah S.W.T., Mafhumnya :

Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya. Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.

(Surah Yusuf, Ayat 87)


Firman Allah S.W.T. lagi, yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka.”


(Surah ar-Ra'd, Ayat 11)


******************************


Monday, November 26, 2012

Do Not Underestimate & Think Positively






Nasihat Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.

Ucapkan dalam hatimu :

“Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.


Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
“Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
“Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
“Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.


****************************************

 


Firman Allah S.W.T., Mafhumnya :

“Wahai orang2 yang beriman! Jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari keburukan orang, dan janganlah sebahagian kamu mempergunjingkan (mengumpat, memburuk-burukkan) sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, padahal kalau kamu dikemukakan daging mayat maka kamu membencinya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan senantiasa mencurahkan rahmat-Nya” 

(Surah al-Hujurat, Ayat 12)




****************************************