Monday, July 23, 2018

Karpet Solat Ajaib



Kisah ini berlaku di penghujung tahun 2014 di mana sebuah banjir besar telah berlaku di negeri Kelantan hingga mengakibatkan pejabat penulis ditenggelami air dan memusnahkan semua dokumen serta peralatan pejabat. Selama lebih kurang sebulan masa diperlukan untuk membersihkan segala lumpur yang melekat serta melupuskan segala kelengkapan yang rosak akibat terendam lama di dalam air 'Bah Kuning' tersebut.  

Allah itu Maha Berkuasa. Sewaktu penulis hadir untuk membersihkan pejabat kesan bencana banjir itu, didapati semua kelengkapan yang diletakkan samada di atas almari, meja mahupun di lantai telah ditenggelami air dan bersalut lumpur kecuali satu sahaja - Sebuah karpet berwarna ungu yang sebelum banjir berlaku diletakkan di bahagian bawah, tidak terpalit walau setitik lumpur sekalipun. Keadaan ini amat berbeza sekali dengan peralatan-peralatan lain termasuklah yang diletakkan di tempat tinggi iaitu di atas almari yang turut musnah dalam kejadian berkenaan. 

Subhanallah! Maha Suci Allah. Bila mengingatkan kembali tentang sejarah kenapa karpet itu dibeli oleh penulis sebelum ini, baru teringat bahawa ianya digunakan sebagai alas sejadah untuk penulis dan rakan-rakan yang berkunjung ke pejabat kecil penulis untuk menunaikan solat!

Subhanallah! Benarlah Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:  

“Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul, supaya kamu diberi Rahmat.” (Surah an-Nur, Ayat 56).

Subhanallah! Sesungguhnya Rahmat yang dimaksudkan ini bukanlah dalam bentuk wang ringgit semata-mata, malah lebih daripada itu (beyond that) iaitu merangkumi tahap kesihatan yang baik, ketenangan fikiran, keharmonian rumahtangga, zuriat keturunan yang soleh solehah, dipermudahkan segala urusan oleh-Nya dan banyak lagi. 

Cuba bayangkan seandainya ketika banjir besar itu berlaku, kita semua diambil nyawa oleh-Nya, sedangkan ketika itu kita masih belum bersedia dek kerana amalan yang masih sedikit serta peluang untuk terus ber'ibadah kepada-Nya telah terhenti, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang rugi. Wal 'iyaadzu Billahi min dzaalik!

Sehingga kini, karpet ungu itu masih penulis dapat gunakan sebagai alas sejadah untuk bersolat, namun disebabkan sedikit trauma dengan tragedi akhir Disember 2014 tersebut, karpet ungu tersebut penulis tempatkan di rumah sahaja dan tidak lagi dibawa ke pejabat, dengan gantian alas tikar sejadah lain untuk menunaikan Rukun Islam Kedua itu. 

Tujuan perkongsian kisah ini bukanlah dengan niat yang serong atau negatif melainkan untuk memotivasi serta memberikan inspirasi kepada kita semua agar terus tekun ber'ibadah kepada-Nya semata-mata. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Allah S.W.T. itu benar-benar wujud, sentiasa dekat bersama-sama menemani hamba yang beriman serta selalu mengingati-Nya. Kerana dengan mengingati-Nya, jiwa akan menjadi TENANG. 

Firman Allah S.W.T., Mafhumnya:  

“Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra'du, Ayat 28).

Wallahua'lam. 
*****************************



Dari Abu Hurairah R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W. Bersabda, Allah S.W.T. Berfirman, Mafhumya :

“Aku menyediakan untuk hamba-hamba-Ku yang Soleh, apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah pula terdetik dalam hati manusia.” Dan bacalah jika kalian kehendaki: “Falaa ta'lamu nafsum maa ukhfiya lahum ming qurrati a'yun (Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu berbagai nikmat yang menyedapkan pandangan mata).” 

(Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim R.A.) 



**************************