Monday, December 9, 2013

Berkata Benar Walaupun Pahit





Berkata Benar Walaupun Pahit

Guangzhou adalah sebuah negeri yang terletak di selatan negara China. Ia diperintah oleh seorang Maharaja. Namun, sejak akhir-akhir ini maharaja itu sering jatuh sakit. Sedar dengan kekurangan itu, Maharaja pun memutuskan untuk mencari penggantinya yang baru. Kali ini, Maharaja ingin melantik dengan cara yang agak berbeza.

Satu hari, Maharaja bertitah untuk menjemput kanak-kanak ke istananya. Semua kanak-kanak di seluruh negeri datang berkumpul di Balai Istana. 

Kata Maharaja, “Kini tiba masa untuk Beta mencari pengganti. Beta ingin melantik seorang Maharaja baru daripada kalangan kamu wahai anak kecil.”

Semua kanak-kanak yang hadir terkejut. 

Kemudian, Maharaja menyambung, “Beta akan memberikan kalian sebiji anak benih. Beta titahkan kalian menanam dan menjaganya dengan baik. Setahun lagi, kalian kembali semula dengan tanaman yang cantik. Kemudian, Beta akan memilih siapa yang layak menjadi pengganti Beta,” titah Maharaja.

Dalam kalangan kanak-kanak itu, ada seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Ling. Apabila dia mendapat biji benih itu, dia pun pulang ke rumah dan menceritakan kepada ibunya. Lalu, ibunya membantu Ling menanam dalam sebuah pasu. Setiap hari, Ling akan menyiram dan membaja benih itu dengan sebaiknya.

Selepas tiga minggu, dia mula mendengar cerita kawan-kawannya tentang biji benih masing-masing. Teruja dengan apa yang didengarinya, Ling pun pulang ke rumah untuk melihat perkembangan biji benihnya. Namun, tiada apa-apa yang tumbuh. Tiga minggu, empat minggu, lima minggu namun, masih tiada apa-apa.

Enam bulan berlalu, biji benih Ling masih serupa. Dia mula membenci biji benihnya. Tetapi dia sedaya upaya memujuk hati agar terus bertahan dan menjaganya. Walaupun sedih dengan apa yang terjadi, Ling tetap berdiam diri dan tidak menceritakan apa-apa yang berlaku kepada kawan-kawannya.


Setahun berlalu. Kini tibalah masa untuk menghadap Maharaja. Semua kanak-kanak dari seluruh pelosok negeri berduyun-duyun memenuhi Balai Istana bersama pokok masing-masing untuk diadili. Bagaimanapun, Ling memberitahu ibunya dia tidak mahu pergi menghadap Maharaja. Namun, ibunya tetap memberi sokongan agar membawa pasu ‘kosong’ itu ke istana.

Apabila  Ling tiba di istana, semua kanak-kanak yang melihat pasunya, ketawa. Tidak kurang juga yang menghulurkan tanda simpati. Namun, Ling tetap tebalkan muka dan cuba berlaku jujur dengan apa yang diperolehnya walaupun sedih. Malu dengan apa yang dibawa, Ling memilih untuk duduk di bahagian paling belakang.

Apabila Maharaja tiba di istana, Baginda mula memerhatikan pokok-pokok yang dibawa kanak-kanak itu. Namun, Ling hanya menyembunyikan dirinya di belakang kanak-kanak lain agar tidak dillihat Maharaja. Baginda sungguh teruja melihat pokok-pokok bunga berwarna-warni tumbuh mekar dalam pasu masing-masing.

“Hari ini salah seorang daripada kamu bakal menjadi Maharaja baru,” titah Maharaja penuh keyakinan.

Tiba-tiba, Maharaja kehairanan melihat Ling yang cuba menyembunyikan pasunya. Terkejut dengan apa yang dibawa, lalu Maharaja mengarahkan askarnya untuk membawa Ling ke hadapan istana. Ling menggigil ketakutan. Dia takut dijatuhkan hukuman ke atasnya kerana gagal menjaga pokok tersebut.

“Nama saya Ling.” Ling bersuara terketar-ketar. Kanak-kanak di sekitar istana mula mentertawakannya.

“Ling adalah Maharaja baru!” Laung Maharaja kuat. 

Seluruh istana sunyi sepi. Ling menggosok-gosok mata sambil tangan menggaru kepala yang tidak gatal. Seingat Ling, biji benihnya tidak tumbuh. Dia gagal menjaga amanah Maharaja. Tapi kini dia dilantik menjadi Maharaja baru. Apa yang sedang berlaku?

“Tahun lepas, beta memberikan kalian biji benih. Beta mahu kalian menjaganya, siram dan bajanya setiap hari. Hari ini, beta minta kalian persembahkan kepada beta. Kalian tahu? Biji benih yang beta berikan dulu semuanya telah dimasak. Biji benih itu tidak mungkin akan tumbuh. Tapi hari ini, kalian semua membawa pokok yang sangat cantik kepada beta kecuali Ling.

“Apabila kamu mendapati biji benih itu tidak tumbuh, kalian menukarnya dengan biji benih yang lain. Tetapi, Ling tidak berbuat begitu. Dia jujur dan amanah dengan apa yang beta beri. Maka dengan ini, beta mengisytiharkan Ling adalah Maharaja baru!”





*****************************





Sabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :

“Katakanlah yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar cercaan orang yang mencerca.” 

(Hadith Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'abul Iman dari Shahabat Abu Dzar)




**************************