Sabda Rasulullah S.A.W:
“Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah S.W.T. iaitu seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah S.W.T., seorang PENULIS yang selalu memberi PENAWAR dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya.”
(H.R. Thabrani)
Guangzhou
adalah sebuah negeri yang terletak di selatan negara China. Ia diperintah oleh
seorang Maharaja. Namun, sejak akhir-akhir ini maharaja itu sering jatuh sakit.
Sedar dengan kekurangan itu, Maharaja pun memutuskan untuk mencari penggantinya
yang baru. Kali ini, Maharaja ingin melantik dengan cara yang agak berbeza.
Satu
hari, Maharaja bertitah untuk menjemput kanak-kanak ke istananya. Semua
kanak-kanak di seluruh negeri datang berkumpul di Balai Istana.
Kata Maharaja,“Kini
tiba masa untuk Beta mencari pengganti. Beta ingin melantik seorang Maharaja
baru daripada kalangan kamu wahai anak kecil.”
Semua
kanak-kanak yang hadir terkejut.
Kemudian, Maharaja menyambung,“Beta akan
memberikan kalian sebiji anak benih. Beta titahkan kalian menanam dan
menjaganya dengan baik. Setahun lagi, kalian kembali semula dengan tanaman yang
cantik. Kemudian, Beta akan memilih siapa yang layak menjadi pengganti Beta,”titah Maharaja.
Dalam
kalangan kanak-kanak itu, ada seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Ling.
Apabila dia mendapat biji benih itu, dia pun pulang ke rumah dan menceritakan
kepada ibunya. Lalu, ibunya membantu Ling menanam dalam sebuah pasu. Setiap
hari, Ling akan menyiram dan membaja benih itu dengan sebaiknya.
Selepas
tiga minggu, dia mula mendengar cerita kawan-kawannya tentang biji benih
masing-masing. Teruja dengan apa yang didengarinya, Ling pun pulang ke rumah
untuk melihat perkembangan biji benihnya. Namun, tiada apa-apa yang tumbuh.
Tiga minggu, empat minggu, lima minggu namun, masih tiada apa-apa.
Enam bulan berlalu, biji
benih Ling masih serupa. Dia mula membenci biji benihnya. Tetapi dia sedaya
upaya memujuk hati agar terus bertahan dan menjaganya. Walaupun sedih dengan
apa yang terjadi, Ling tetap berdiam diri dan tidak menceritakan apa-apa yang
berlaku kepada kawan-kawannya.
Setahun berlalu. Kini
tibalah masa untuk menghadap Maharaja. Semua kanak-kanak dari seluruh pelosok
negeri berduyun-duyun memenuhi Balai Istana bersama pokok masing-masing untuk
diadili. Bagaimanapun, Ling memberitahu ibunya dia tidak mahu pergi menghadap
Maharaja. Namun, ibunya tetap memberi sokongan agar membawa pasu ‘kosong’ itu
ke istana.
Apabila Ling tiba di istana, semua kanak-kanak yang
melihat pasunya, ketawa. Tidak kurang juga yang menghulurkan tanda simpati.
Namun, Ling tetap tebalkan muka dan cuba berlaku jujur dengan apa yang
diperolehnya walaupun sedih. Malu dengan apa yang dibawa, Ling memilih untuk
duduk di bahagian paling belakang.
Apabila Maharaja tiba
di istana, Baginda mula memerhatikan pokok-pokok yang dibawa kanak-kanak itu.
Namun, Ling hanya menyembunyikan dirinya di belakang kanak-kanak lain agar
tidak dillihat Maharaja. Baginda sungguh teruja melihat pokok-pokok bunga
berwarna-warni tumbuh mekar dalam pasu masing-masing.
“Hari ini salah
seorang daripada kamu bakal menjadi Maharaja baru,”titah Maharaja penuh
keyakinan.
Tiba-tiba, Maharaja
kehairanan melihat Ling yang cuba menyembunyikan pasunya. Terkejut dengan apa
yang dibawa, lalu Maharaja mengarahkan askarnya untuk membawa Ling ke hadapan
istana. Ling menggigil ketakutan. Dia takut dijatuhkan hukuman ke atasnya
kerana gagal menjaga pokok tersebut.
“Nama saya Ling.”Ling bersuara terketar-ketar. Kanak-kanak di sekitar istana mula
mentertawakannya.
“Ling adalah Maharaja
baru!”Laung Maharaja kuat.
Seluruh istana sunyi sepi. Ling menggosok-gosok
mata sambil tangan menggaru kepala yang tidak gatal. Seingat Ling, biji
benihnya tidak tumbuh. Dia gagal menjaga amanah Maharaja. Tapi kini dia
dilantik menjadi Maharaja baru. Apa yang sedang berlaku?
“Tahun lepas, beta
memberikan kalian biji benih. Beta mahu kalian menjaganya, siram dan bajanya
setiap hari. Hari ini, beta minta kalian persembahkan kepada beta. Kalian tahu?
Biji benih yang beta berikan dulu semuanya telah dimasak. Biji benih itu tidak
mungkin akan tumbuh. Tapi hari ini, kalian semua membawa pokok yang sangat
cantik kepada beta kecuali Ling.
“Apabila kamu
mendapati biji benih itu tidak tumbuh, kalian menukarnya dengan biji benih yang
lain. Tetapi, Ling tidak berbuat begitu. Dia jujur dan amanah dengan apa yang
beta beri. Maka dengan ini, beta mengisytiharkan Ling adalah Maharaja baru!”
*****************************
Sabda Rasulullah S.A.W., Mafhumnya :
“Katakanlah yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar cercaan orang yang mencerca.”
(Hadith Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'abul Iman dari Shahabat Abu Dzar)
Di hening pagi yang cukup mendamaikan itu, di
saat margastua mulai keluar dari tempat persembunyiannya, serta burung-burung
pun turut berkicau mendendangkan irama lagu-lagu nan indah buat memberikan
ketenangan kepada seluruh penghuni alam; Namun hatiku ini tidak sedikitpun
terhibur dengan semua itu, kerana terlalu memikirkan tentang apakah yang bakal
aku hadapi sebentar lagi, apakah aku mampu untuk terus terus berdiri tegap, dan
melangkah dengan penuh bertenaga untuk program pada hari ini, kerana kebanyakan
dari tenaga empat keratku ini sudah banyak dihabiskan untuk menyempurnakan
tugasan bagi memimpin rakan-rakannya untuk suatu program bagi memberikan
pendedahan yang baru serta bermanfaat buat para pelajar baru fakulti; yakni Program
Pemantapan Wawasan (PPW), Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media.
Dengan pelbagai karenah para peserta serta di
kalangan ahli-ahli jawatankuasa penganjuran program yang hadir dengan perangai
yang pelbagai untuk diuruskan, fikiranku pada pagi itu cukup kusut, ditambah
pula dengan tuntutan untuk memberikan yang terbaik buat para ‘ayahanda’ yang
bakal ku temui sebentar sahaja lagi, aku jadi lelah. Malah, hampir juga aku
ingin menoktahkan jihad ku ini, dengan cara memilih untuk tidak mengikuti
program yang sememangnya bermanfaat ini, namun atas semangat ingin berbakti
buat agama, bangsa dan Negara, daku gagahkan jua diri ini serta menyakinkan
pada diri sendiri,
“Ya Hafiz! kamu memang boleh! Apakah dengan sedikit mehnah dan tribulasi yang
Aku timpakan ke atasmu ini, engkau sudah melupakan akan tanggungjawabmu, bagi
melunaskan segala usaha murnimu untuk membalas segala jasa baik serta kurniaan
nikmat yang telah Aku berikan kepadamu?”, aku bermonolog sendirian.
Bisikan-bisikan madah kata semangat yang terngiang-ngiang
di telingaku inilah yang bagaikan telah menyuntik semangat kepada diriku, untuk
membuat suatu keputusan yang muktamad; “Ya! Sungguh semua ini takkan pernah mampu melunturkan semangatku untuk
meneruskan perjuangan ini! Aku akan teruskan jua walau badai datang melanda,
aku takkan patah semangat!”, ikrar ku pada hati yang sedari tadi asyik mengomel
kepada diriku sendiri.
Kemudian,
aku terus bergegas mencapai tuala usangku, serta mempersiapkan diriku, buat
menghadapi perjalanan program pada hari ini dengan sebaiknya, Insya Allah.
Kedinginan air yang membeku, bagaikan begitu hangat sekali tatkala menyentuh
kulitku di pagi hari itu, tanda semangatku yang berkobar-kobar untuk menyertai
program lawatan nanti, di mana ianya membuatkan ku betul-betul tidak sabar
untuk tiba secepat mungkin ke tempat program itu. Jika aku punyai sayap untukku
terbang setangkas helang yang menguasai ruang angkasaraya itu, pasti akan ku
lakukan, asalkan aku dapat sampai ke destiasi yang dituju dengan segera, kerana
aku dapat merasakan di hadapanku nanti, sudah tersedia pelbagai khazanah
pengalaman pahit manis yang bakal aku pelajari di sana, buat bekalan diriku
dalam perjalanan sebagai seorang hamba, menuju Mardhatillah dalam kehidupan
nanti Insya Allah.
Setelah
menyarungkan baju t-shirt berwarna hitam demi mengikut tema program; Iaitu
bersesuaian dengan kehendak pensyarah yang meminta kami memakai baju t-shirt scrabble
Kelab MASSA, aku terus menghidupkan enjin motorku, bersedia untuk meneruskan
perjalanan menuju ke fakulti bagi menyempurnakan tugasan yang telah
diamanahkan, iaitu untuk memastikan perjalanan program berlangsung dengan
jayanya Insya Allah. Setibanya di perkarangan fakulti, kelihatan beberapa orang
rakan-rakanku yang turut sama terlibat dengan program ini, sedang
melambai-lambai ke arahku, seakan-akan kerinduan mereka menunggu ketibaanku ini
telah terubat jua akhirnya.
“Ah!
Perasan!”, rungutan yang aku tujukan buat diriku sendiri ini terus mematikan
lamunan yang bermain-main di fikiran. Apapun, dengan cara inilah, aku mampu
terus memotivasikan diri sendiri, dengan cara sentiasa berfikiran positif,
dengan harapan moga-moga sendu yang acapkali membelenggu diri ini akan sirna
akhirnya.
“Tap!”,
aku menongkatkan motorku di tempat parking yang terletak di hadapan lobi utama
pejabat fakulti. Seakan-akan ada perompak yang mengejar dibelakangku, aku terus
bergegas, berlari-lari anak ke bilik gerakan Kelab MASSA untuk mendapatkan
beberapa kotak air minuman buat bekalan para peserta program pada hari ini.
Moga-moga rasa kehausan bukan menjadi punca yang mampu membunuh semangat mereka
untuk memberikan yang terbaik dalam menyempurnakan tugasan mereka Insya Allah.
Dengan bantuan Noi, aku berjaya membawa turun beberapa buah kotak air minuman
ke tempat menunggu bas di hadapan fakulti.
“Fuh!
Alhamdulillah...”, Aku mengomel sendirian sambil saling berbalas senyuman
dengan Noi, sebagai tanda penghargaan di atas kesudian beliau membantu diriku
ini, kerana sejujurnya di kala itu, hanya itu sahaja yang mampu aku sedekahkan
serta hadiahkan sebagai tanda penghargaan buat beliau.
Kemudian
setelah menunggu buat beberapa ketika, pawana ketenangan bagaikan terus menerpa
serta menampar lembut pipiku ini, tatkala melihat seraut wajah insan yang cukup
ku kagumi, dialah seorang ibu, dialah seorang sahabat sejati, dan dialah
pensyarah kami; Puan Hariyati Ariffin, atau lebih mesra disapa dengan panggilan
Mama, yang kelihatan sedang menapak, berjalan kemas menuju ke arah anak-anak
didiknya yang sudah sekian lama menanggung rindu, maka kehadiran beliau seakan
telah menyuntik semangat kami untuk menyediakan diri dengan kekuatan fizikal
mahupun mental, bagi mengharungi sebarang kemungkinan, segala apa yang bakal
kami lalui pada hari ini.
Biro Cenderahati dan Penajaan,
Program Pemantapan Nilai Kemanusiaan, Kursus COM 668 - Communication &
Change, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, UiTM Kampus Shah Alam,
Selangor.
Tidak lama kemudian, bas yang akan membawa kami ke destinasi yang dituju
pun tiba dan tanpa melengahkan masa lagi, setelah selesai sesi mengambil gambar
sebagai attendance proof bak kata Mama, kesemua peserta terus menaiki
bas dengan penuh rasa kegembiraan yang tidak terhingga. Di sepanjang perjalanan
menuju ke destinasi yang dimaksudkan itu, aku mengambil peluang untuk beramah
mesra dengan rakan-rakan yang walaupun sama fakulti, tetapi disebabkan
berlainan cabang pengajian ataupun sequence yang diambil, waktu untuk
kami berjumpa dan bersembang di fakulti bagaikan diragut dek masa yang cukup
mencemburui kita semua. Selain itu, aku juga berpeluang untuk mendekati tokoh
pensyarah yang cukup disegani di fakulti, Mama dan di sepanjang perjalanan,
Mama menceritakan pelbagai pengalaman hidup beliau bukan sahaja kepada diriku,
malah terdapat beberapa orang lagi di kalangan peserta program yang turut sama
berada di dalam bas tersebut, kelihatan turut khusyuk mendengar segala apa yang
diperkatakan oleh kami berdua; Saat yang semestinya tidak mampu ku beli
walaupun memiliki segunung emas yang melangit tinggi, yakni masa untuk
berkongsi pengalaman serta mengenali dengan lebih dekat lagi peribadi insan
yang cukup banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara ini.
Hampir setengah jam berlalu, akhirnya kami tiba ke destinasi yang dituju,
dan di kala itu, kelihatan susuk tubuh dua orang yang seperti sudah lama
menanti untuk menyambut ketibaan kami; iaitu saudara Zaidi dengan motorsikal
kesayangannya berwarna hitam itu, dan Encik Mohiadin, Pengerusi Pusat Jagaan
Nur Hasanah, Beranang, Selangor; tempat program yang bakal dijalankan nanti.
Tangan dihulur, salam bersambut. Aku terus menyapa mesra mereka berdua serta
mengambil kesempatan untuk berkenalan walaupun dalam waktu yang sangat singkat
dengan insan yang secara sukarelanya sanggup mengorbankan wang, masa dan tenaga
bagi membangunkan sebuah pusat jagaan sementara ataupun transit bagi
mereka yang ditinggalkan sendirian di hospital tanpa belas kasihan oleh kaum
keluarga sendiri; iaitu Encik Mohiadin, yang juga merupakan ayahanda tercinta bagi
sahabatku, saudara Muhammad Syafiq.
Kemudian, aku terus menurunkan segala kelengkapan yang dibawa untuk
keperluan para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, dengan bantuan rakan-rakanku
yang turut komited untuk sama-sama memastikan kejayaan program murni ini.
Seterusnya kami terpaksa berjalan kaki sejauh beberapa meter untuk memasuki ke
perkarangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, kerana jalannya yang sempit, yang tidak
memungkinkan bagi sebuah bas untuk melaluinya, malah jalan itu hanya muat untuk
dilalui oleh sebuah kereta sahaja. Setelah sama-sama berjalan kaki secara
berjemaah buat beberapa ketika, akhirnya kami dapat melihat dari kejauhan,
sebuah papan tanda berwarna oren yang terbentang dengan tulisan "Pusat
Jagaan Nur Hasanah".
“Alhamdulillah, syukur pada-Nya, akhirnya dapat jua aku sampai ke tempat yang
bagiku bakal menjanjikan seribu satu pengalaman yang berharga untuk dibawa
pulang sebagai bekalan dalam menyusuri perjalanan dunia yang penuh dengan
ranjau serta onak berduri ini. Alhamdulillah.”, bisikku kepada hati kecilku
ini.
Kehadiran kami turut disambut oleh para kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah
yang menawarkan khidmat mereka secara sukarela untuk membantu mereka yang tidak
bernasib baik, yang seakan terdampar di sebuah tempat yang jauh dari kampung
halaman yang dirindui, dek kerana kerakusan anak-anak yang kononnya terlampau
sibuk bagi menjaga orang tua mereka di kala memerlukan, sedangkan tangan tua
yang kian berkedut itulah yang selama ini memberikan belaian lembut, mengusapi
rambut anak-anak, sebagai tanda kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buat
anakanda yang tersayang, dengan harapan ianya mampu memberikan suntikan
semangat serta motivasi yang tinggi, agar mereka akan tumbuh subur menjadi
insan yang berguna kepada masyarakat; harapan yang hanya tinggal harapan,
bagaikan pepasir di pantai, yang kian terhakis dek amukan ombak yang ganas,
sebagai metafora kepada harapan mereka yang telah musnah di bawa angin lalu.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah serta doa pembukaan majlis oleh insan
yang kerdil lagi hina dina di sisi pandangan mata manusia biasa ini; diriku
sendiri. Walaupun dalam kesengsaraan menanggung kesakitan yang teramat sangat
akibat batuk yang berpanjangan semenjak beberapa minggu yang lalu, namun ku
gagahkan jua diriku untuk membacakan doa, dengan harapan majlis yang berbahagia
ini berolah keberkatan dari-Nya, serta sebagai suntikan semangat buat para
penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, agar walaupun hidup mereka selalu dirundung
sepi dan sendu, namun masih wujud keyakinan serta keimanan dalam diri mereka,
bahawa Allah itu sentiasa ada, setia di sisi mereka, dan akan sentiasa
meluangkan masa untuk mendengar segala rintihan hamba-hamba yang amat
dikasihi-Nya ini, serta akan memakbulkan doa bagi mereka yang sabar dalam menghadapi
segala mehnah dan tribulasi dalam kehidupan ini.
“Amin...”, semua peserta program, para kakitangan dan penghuni Pusat Jagaan
Nur Hasanah turut sama mengaminkan bacaan doa yang ku bacaan tadi. Walaupun
seuntai doa yang agak ringkas, namun aku berharap Allah S.W.T. akan mendengar
segala doa pengharapan dari hamba-Nya yang merintih memohon perkenan dari-Nya,
agar Dia mempermudahkan segala-galaya buat kita semua, Amin ya Robbal ’Alamin.
Aturcara seterusnya diteruskan lagi dengan ucapan oleh pensyarah merangkap
penasihat program amal ini, Puan Hariyati Ariffin, yang mana intipati kandungan
kata alu-aluan dari beliau telah menerangkan kepada semua peserta program dan
kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, akan objektif utama mengapa program ini
direncanakan, iaitu antaranya bertujuan untuk memberi pendedahan yang sangat
bermanfaat buat semua pelajar, akan peri pentingnya kesedaran untuk berbakti
kepada kedua orang tua yang banyak berjasa kepada diri kita, di kala mereka
sudah menginjak ke usia emas, yang sangat memerlukan perhatian yang cukup
teliti dan penuh keperihatinan.
Seperti emas yang memerlukan kepakaran serta ketelitian untuk menggilap bagi
memastikan ianya terus berkilauan dan menenangkan hati yang tidak jemu-jemu
memandangnya, begitu jualah kedua ibu bapa kita yang turut memerlukan perhatian
yang sangat rapi, sedangkan segala usaha yang kita curahkan dalam memberikan
yang terbaik buat kedua ayahanda bonda yang tersayang itu, walau dikumpulkan
segala emas dan permata berharga yang dikorek dari segenap inci perut bumi
untuk dihadiahkan buat mereka, pasti tidak akan terbalas segala jasa bakti yang
telah mereka curahkan buat kita selama ini.
Acara seterusnya diteruskan lagi dengan ucapan Pengerusi Pusat Jagaan Nur
Hasanah, Encik Mohiadin Bin Bahado, yang turut diselang-selikan dengan tayangan
montaj yang menyayat hati, berkenaan luahan rasa para penghuni Pusat Jagaan Nur
Hasanah, yang ditinggalkan oleh ahli keluarga yang selama ini diharapkan untuk
menjadi tempat mengadu nasib serta mampu menjaga mereka di kala usia menganjak
ke senja, namun harapan yang disemai ke atas mereka seperti bak kata pepatah
Melayu, Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi. Video-video yang ditayangkan itu
diambil daripada video-video yang pernah disiarkan di kaca televisyen, yang
kebanyakannya disiarkan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi pelbagai
saluran berita mereka seperti Warta Perdana dan sebagainya.
Selain itu, ketika kami sedang khusyuk mendengar penerangan-penerangan yang
diberikan oleh Encik Mohiadin, aku terpana dan terpaku dengan gelagat Atuk
Hasyim, salah seorang penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah yang mengesat air mata
yang mengalir laju di pipinya, apabila Encik Mohiadin meminta para peserta
program untuk bertafakur sejenak serta menghadiahkan sekalung Al-Fatihah buat
lapan orang di antara penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah yang baru sahaja
meninggal dunia.
“Semoga engkau tenang di sana
duhai sahabat-sahabatku. Aku akan
sentiasa merinduimu dan mendoakan kesejahteraan engkau di alam sana. Moga
perpisahan ini hanyalah sementara, dengan hanya bercerai jasad sahaja, namun
Insya Allah, semoga Allah mempertemukan kita kembali di Jannatul Firdausi
kelak, Amin”, aku bagaikan dapat membaca segala apa yang terpendam di lubuk
sanubari Atuk Hasyim, yang jiwanya bagaikan tersiat dengan kehilangan
sahabat-sahabat yang selama ini banyak memberikan dorongan dan dokongan
semangat untuk mereka sama-sama meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan
segala pancaroba yang mencengkam ini.
Setelah selesai majlis perasmian
program lawatan ke Pusat Jagaan Nur Hasanah sebentar tadi, semua peserta,
kakitangan serta para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah bersama-sama menikmati
sedikit juadah sebagai tanda ’Selamat Datang’ yang disediakan oleh kakitangan
Pusat Jagaan Nur Hasanah, berupa sedikit kuih muih dan minuman. Kemudian,
bermulalah episod yang seterusnya dalam lembaran kehidupan kami, di mana kami
semua dibahagikan mengikut tugas masing-masing; ada yang terlibat dalam
membantu Mama memasak makanan untuk para peserta, kakitangan dan penghuni Pusat
Jagaan Nur Hasanah, ada yang membantu Mak Andak, salah seorang kakitangan Pusat
Jagaan Nur Hasanah yang arif tentang tanaman yang ditanam di situ untuk menanam
pokok-pokok baru dan sebagainya; Aku terlibat di bahagian ini bersama rakan-rakanku
yang lain.
Di kala ini, aku berpeluang untuk
mengenali dengan lebih dekat tentang perwatakan setiap dari rakan-rakan yang
terlibat sebagai peserta program ini. Maklumlah ketika di fakulti,
masing-masing sibuk dengan tugasan harian sendiri, sehinggakan agak sukar untuk
menemui mereka secara kerap, kecuali jika di buat sebarang temujanji untuk
bertemu pada waktu-waktu yang tertentu, barulah kami dapat berjumpa dan dapat
bercakap secara face-to-face antara satu sama lain; Peluang inilah yang
aku dapati melalui penglibatan dalam program yang bermatlamatkan usaha murni
membantu insan lain yang memerlukan ini, maka selain dari memupuk semangat
setiakawan di kalangan para peserta, ianya juga dapat mengeratkan ukhuwah di
antara kami semua.
Di antara pengisian-pengisian
menarik yang dapat aku perolehi disepanjang aktiviti riadah ini, ialah apabila
aku dan rakan-rakan dapat menimba pelbagai pengalaman berharga yang tidak dapat
dijual beli dari insan-insan yang berpengalaman seperti Mak Andak dan Mama
Mila. Mak Andak umpamanya, bercerita tentang pengalamannya dalam menjaga para
penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah dengan seikhlas hati dan sukarela, tanpa
mengambil kira berapa banyak elaun yang diberikan. Bagi Mak Andak, dengan
membantu insan lain yang serba kekurangan inilah, beliau mendapat keberkatan
dalam kehidupan serta beliau sentiasa mendapat kemudahan dalam hidup, kerana
Allah pernah berjanji dalam Surah Muhammad, Ayat 7. Firman-Nya yang bermaksud,
“Hai orang-orang yang beriman! Jika kamu membantu (Agama) Allah, Dia akan
membantu dan mengukuhkan kedudukanmu.”
Tegas Mak Andak lagi, ini juga
boleh dikira sebagai sedekah jariah, di mana ianya tidak akan mengurangkan dari
sudut kewangan kita umpamanya, malah hasil ’Pelaburan Ukhrawi’ yang kita
lakukan ini pasti akan digandakan oleh-Nya, samada berbentuk rezeki yang
melimpah ruah bagi kita, mahupun ganjaran Syurga Adnin nan indah di akhirat
sana.
Disamping itu, kami juga dapat menimba sedikit sebanyak pengalaman berkenaan
tumbuh-tumbuhan daripada Mama Mila, iaitu tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat untuk
kesihatan seperti Tongkat Ali dan sebagainya. Apa yang menarik perhatian aku
mengenai Mama Mila ialah, walaupun beliau memiliki profesyen yang lain juga
iaitu sebagai penjaga wardrobe di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri, namun
beliau tetap dapat meluangkan masa bagi menyumbangkan sedikit tenaga dari
tulang empat keratnya untuk membantu insan yang benar-benar memerlukan
perhatian yang sewajarnya, seperti para penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah ini.
Beliau juga turut berkongsi kisah suka duka kehidupannya, iaitu pengalaman
hidupnya sendiri sebagai seorang ibu tunggal, sebenarnya banyak memotivasikan
diri beliau untuk mensyukuri serta lebih menghargai akan segala nikmat
kurniaan-Nya di muka bumi ini. Sesungguhnya jika kita selalu merasa rendah diri
serta memikirkan bahawa kita merupakan insan yang paling malang di muka bumi ini, maka ketahuilah
bahawa masih ada ramai lagi insan-insan yang nasibnya lebih menyedihkan
daripada kita. Walaupun kita tidak mampu menyumbang bagi membantu mereka
melalui sumbangan kewangan atau tenaga sekalipun, sekurang-kurangnya kita boleh
mendoakan agar mereka beroleh rahmat dari-Nya Insya Allah.
“Ubi! Ubi!”, terdengar seruan yang menyedarkan aku dari lamunan yang
terawang-awang di benak fikiranku ini. Rupa-rupanya, Mama Mila menunjukkan
kepada kami akan tanaman ubi yang ditanam di halaman Pusat Jagaan Nur Hasanah.
Mama Mila juga membawa pisau kecil bagi membantu aku dan rakan-rakan untuk
mengorek keluar isi ubi yang tertanam nun jauh di dalam perut bumi. Setelah
berusaha sedaya upaya menggali tanah, aku akhirnya berjaya menarik keluar isi
ubi dengan bantuan rakan-rakan yang lain.
“Alhamdulillah, petang ini kita semua akan
berpesta makanan dengan juadah ubi yang empuk lagi enak”, getusku sendirian.
Setelah menginjak ke waktu untuk solat Zohor, kami terus menghentikan
kerja-kerja menanam pokok dan berjaya menggali keluar dua biji ubi kayu, kami
pun terus membuat persiapan untuk bersolat fardhu Zohor secara berjamaah. Ubi
kayu itu dihantar ke dapur untuk ditangani oleh mereka-mereka yang pakar,
manakala aku dan rakan-rakan menghamparkan sejadah dan tikar mengalasi ruang
solat yang disediakan.
Meraikan kejayaan manis menggali keluar ubi kayu
bersama rakan-rakan.
Aku diminta untuk mengepalai
solat Zohor berjemaah dan seterusnya bacaan tahlil arwah buat para penghuni
Pusat Jagaan Nur Hasanah yang telah kembali ke Rahmatullah, dengan bermakmumkan
para peserta, kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah. Kemudian,
kami sekali lagi menjamu selera dengan masakan enak yang disediakan oleh
seorang chef tersohor yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Puan Hariyati
Ariffin atau Mama. Di antara masakan beliau yang telah memikat selera aku ialah
’Sambal Special’, yang masih tidak dapat aku lupakan kelazatannya hingga ke
hari ini. Dan semestinya aku tidak bersendirian dalam memberikan komentar
ataupun pandangan ikhlas ini, apabila ’Sambal Special’ yang Mama sediakan ini
tidak menunggu masa yang lama untuk dihabiskan dalam sekelip mata. Sedangkan
aku sendiri hanya mampu menjamah sedikit sahaja dari makanan istimewa hasil
pembikinan air tangan seorang ibu yang cukup teliti sifatnya dalam memberikan
yang terbaik untuk anakanda yang dikasihi sekalian.
Sekali lagi, setelah masuknya
waktu Asar, aku sekali lagi mengambil tanggungjawab untuk mengimamkan solat
fardhu Asar berjemaah. Sesi yang seterusnya yang bagiku cukup menarik, iaitu
sesi persembahan karaoke daripada para peserta program dan wakil penghuni Pusat
Jagaan Nur Hasanah, Atuk Hasyim. Bagi menyuntik sedikit rasa keinsafan ke dalam
sanubari setiap para peserta program, aku memilih untuk mendendangkan lagu Odei
Anak dari Kumpulan Raihan dan Kaulah Segalanya (Broery Marantika),
yang ditujukan khas buat ibu bapa yang selama ini tidak pernah mengenal erti
penat lelah serta jemu dalam membesarkan kami semua, sehingga menjadi insan
yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kini. Tiba-tiba, di kala aku
sedang khusyuk menghayati bait-bait alunan melodi lagu yang begitu melankolik
ini, aku dikejutkan oleh salah seorang kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah yang
memberitahu bahawa salah seorang penghuni pusat jagaan ini, Encik Latif Lim
yang juga merupakan seorang mualaf, menangis teresak-esak di kala aku
menyanyikan lagi Odei Anak dengan penuh penghayatan tadi. Entah apa yang
bersarang di fikiran beliau pada ketika itu, hanya beliau sendiri dan Allah
sahajalah yang Maha Mengetahui akan apa yang tersirat di sudut hati
hamba-hamba-Nya ini.
Kemudian bagi meredakan keadaan,
aku meneruskan lagi acara pada petang yang permai, diiringi bayu yang berhembus
lembut bagaikan mengusapi diriku ini dengan mempersembahkan lagu-lagu Broery
Marantika yang lebih santai seperti Biarlah Bulan Bicara dan Jangan
Ada Dusta Di Antara Kita secara berduet dengan Mama. Seterusnya, beberapa
orang lagi dari kalangan rakan-rakanku turut menghadiahkan nyanyian mereka
dengan memilih beberapa buah lagu yang dipetik dari VCD MTV-Karaoke yang
aku bawa seperti lagu Widuri dan sebagainya. Disamping itu, kami turut
dihiburkan oleh nyanyian dari Atuk Hasyim, penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah
yang juga merupakan bekas penyanyi latar bagi filem Dayang Senandung dan
pernah bekerjasama dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Seniman Agung
bagi negara kita yang tercinta, Malaysia ini. Walaupun beliau sudah berusia
70-an dan berstatus veteran, namun beliau masih mampu melontarkan suara yang
masih merdu kedengaran di cuping telinga kami semua, dan beliau membuktikan
bahawa beliau mampu melakukannya, berkat segala pengalaman yang telah sekian
lama terhimpun di dada selama ini.
Atuk Hasyim sedang mendendangkan lagu-lagu buat menghiburkan hati kami semua.
Tidak lama selepas itu, pandangan
mataku terarah kepada satu sudut di mana terdapat sekumpulan manusia berkumpul
mengelilingi seseorang di halaman hadapan Pusat Jagaan Nur Hasanah. Tanpa
berlengah lagi, aku pun turut melangkah perlahan-lahan menuju ke tempat
berkumpul tersebut, dan apabila aku semakin menghampiri tempat tersebut, maka
makin jelas kelihatan akan siapakah identiti mereka yang berkumpul itu. Kelihatan
Mama dan beberapa orang peserta program sedang menemubual Encik Latif Lim,
bertanyakan tentang kisah silam beliau, serta punca mengapa beliau turut
termasuk dalam kalangan mereka-mereka yang tersenarai dalam senarai para
penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah. Encik Latif Lim menyatakan bahawa,
disebabkan kesilapan lampau beliau yang dahulunya bekerja dengan agensi ceti
haram Ah Long dan kemudiannya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang
mengakibatkannya patah kaki, isterinya terus meninggalkannya dengan membawa
anak tunggal mereka berhijrah ke Hong Kong.
Di saat itu juga, aku dapat
perhatikan wajah sayu Encik Latif Lim tatkala menatap potret mini perkahwinan
beliau dengan bekas isterinya, yang kini tidak diketahui di manakah tempat
tinggalnya sekarang. Bagi Encik Latif Lim, beliau sanggup berkongsi segala
pengalaman kehidupannya ini kepada semua, agar kami tidak mengulangi segala
kesilapan lampau yang telah beliau lakukan. Bagi beliau, ini merupakan kifarah
dari Allah bagi menghapuskan segala noda dan dosa yang telah beliau lakukan
sebelum ini. Apa yang menakjubkan kami ialah, semangat beliau yang tidak pernah
luntur dalam mengharungi liku-liku hidup dan menghabiskan sisa-sisa kehidupan
dengan penuh ketabahan serta redha akan ketentuan iradat-Nya. Untuk menenangkan
serta memberikan sedikit suntikan motivasi kepada beliau, aku turut memberi
sedikit perkongsian ilmu dan memberitahu beliau bahawa, dengan segala ilmu
dalam bentuk pengalaman yang beliau berikan kepada kami semua, Allah akan
memberikan ganjaran pahala yang tidak putus-putus buat beliau. Sabda Rasulullah
S.A.W., diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud,
“Apabila seorang manusia mati, maka terputuslah amalan (setakat itu)
kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan pahalanya) iaitu sedekah jariah,
atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, atau anak yang soleh yang
mendoakan untuknya.”
Setelah mendengar sedikit perkongsian ilmu yang diberikan ini, seraut wajah
Encik Latif Lim yang sebelum ini bermuram durja, mulai mengukir senyuman dan
beliau turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepadaku atas perkongsian ilmu
itu tadi.
Akhirnya, saat-saat yang cukup
mengharukan itu pun tiba; iaitu majlis penutupan program lawatan amal ke Pusat
Jagaan Nur Hasanah serta pembahagian sumbangan serta cenderahati kepada para
kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah itu sendiri. Selepas itu,
kami semua bersalam-salaman dengan para kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan
Nur Hasanah. Di kala itu, ketika aku mahu bersalaman dengan Atuk Hasyim, tidak
semena-mena beliau mengalirkan air mata dan menangis semahu-mahunya tatkala
beliau bersalaman denganku; situasi yang tidak pula berlaku ketika
rakan-rakanku yang lain bersalaman dengan beliau. Mungkin beliau tidak sanggup
melepaskanku pergi kerana bagiku sendiri, betapa pilunya perpisahan itu amat ku
rasainya, terutamanya pabila langit yang mendung berarak kelabu, bagaikan turut
sama berdukacita dengan perpisahan ini. Sesungguhnya telah begitu banyak
perkara yang kami berdua kongsikan bersama dalam tempoh perkenalan yang cukup
singkat ini.
“Atuk, Insya Allah kalau diberikan umur yang panjang, pasti kita akan bertemu
lagi. Saya merasa bertuah dapat bersama dengan atuk walaupun dalam tempoh yang
amat terhad ini, kerana seumur hidup saya, saya tidak pernah berpeluang untuk
bermesra dengan kedua atuk saya samada di sebelah ibu mahupun ayah saya, kerana
mereka berdua telah terlebih dahulu dijemput menghadap Ilahi, sewaktu saya
masih kecil lagi”, ucapku lembut sambil menahan sebak yang begitu kuat mencengkam
kalbuku ini kepada beliau. Namun mutiara air mata itu masih terus bergenang di
kelopak matanya, kelihatan sayu memandang tepat ke mataku.
Sebelum berpisah, kami semua
berpeluang untuk menikmati juadah makanan yang telah sama-sama kami usahakan
sendiri sebentar tadi; iaitu masakan ubi kayu yang cukup enak dimakan begitu
sahaja, mahupun dengan gula sebagai perisa pencecahnya. Beberapa pesanan yang
cukup menyuntik semangat aku terima dari Mak Andak, yang memintaku untuk
memikirkan semula keputusanku yang menarik diri dari menyertai Pasukan Latihan
Pegawai Simpanan Tentera Darat (PALAPES) sebelum ini, kerana bagi beliau adalah
suatu kerugian bagiku kerana Mak Andak sendiri lebih tahu dan mempunyai banyak
pengalaman dalam bidang ini kerana pernah berkhidmat sebagai Polis Tentera
selama 20 tahun; bahawa begitu banyak manfaat yang bakal ku perolehi jika
meneruskan dalam karier sebagai seorang Pegawai Askar Wataniah itu. Harapan
murni beliau itu masih ku simpan rapi hingga kini, namun aku masih berbelah
bahagi samada mahu memenuhinya atau sebaliknya.
Mama Mila pula memuji diriku, insan yang maha lemah ini, bahawa aku memiliki
bakat sebagai seorang pemimpin yang versatile, kerana katanya aku mampu
menjadi pemimpin samada dari sudut duniawi mahupun ukhrawi jua. Bagiku, segala
pujian yang aku terima dari insan-insan yang mengenaliku ini, tidak akan
menyebabkanku lalai dari mengingati-Nya, serta aku berlindung kepada Allah dari
sifat-sifat mazmumah seperti ujub, riak dan takabbur kerana aku tahu, bahawa
segala kelebihan serta bakat yang aku miliki ini, semuanya adalah anugerah dari
Ilahi, sebagai pinjaman sementara dan menjadi medan untuk menguji samada
hamba-Nya ini mampu mengatasi segala cabaran hawa nafsu yang menjahanamkan,
ataupun tidak. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda
kenang-kenangan bersama para peserta program, kakitangan serta seluruh penghuni
Pusat Jagaan Nur Hasanah.
Para peserta Program Pemantapan Nilai Kemanusiaan, Fakulti
Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Kampus Shah Alam bergambar kenangan bersama
para kakitangan serta penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah
Pepohon yang melambai-lambai longlai diiringi pawana dingin yang berhembus
lembut, mengiringi perjalanan kami menuju ke tempat berkumpul untuk menaiki bas
pulang ke kediaman masing-masing. Senyuman Encik Rosli, pemandu bas UiTM yang
setia menunggu kehadiran kami tepat pada waktu yang dijanjikan, tidak mampu
mengubat sendu di kalbuku, tatkala terpaksa berpisah dengan para penghuni dan
kakitangan Pusat Jagaan Nur Hasanah, kerana walaupun keberadaan kita bersama
cukup singkat dek kerana masa yang mencemburui kita, namun aku merasakan dan
menganggap mereka semua seperti keluargaku sendiri. Sesungguhnya begitu banyak
pengalaman yang amat berharga dan tidak ternilai harganya yang dapat aku kutip
disepanjang program ini berlangsung, dan aku amat bersyukur kerana Dia
memberikanku peluang untuk merasai sendiri pengalaman bersama ayahanda-ayahanda
yang diabaikan oleh anakanda-anakanda mereka yang selama ini pernah ditatang
dengan minyak yang penuh, namun natijahnya ialah, kendatipun pelbagai jasa baik
yang telah ditabur oleh kedua ibu bapa mereka, namun akhirnya jasa mereka bukan
sahaja dilupakan, malah seperti dibuang oleh anak-anak mereka sendiri. Bak kata
peribahasa Melayu,“Susu Dibalas Tuba”. Melalui program ini, ianya turut
mengajarku untuk lebih menghargai kedua orang tuaku, selagi mereka masih ada,
masih punyai hayat untuk terus berada di sisi kita, jangan sesekali kita sia-siakan
mereka yang banyak berjasa buat kita semua ini, semenjak kita dilahirkan
sebesar tapak tangan orang dewasa, hinggalah menginjak ke alam remaja kini.
Renungilah Sabda Rasulullah ini, Mafhumnya :
“Sangat celaka, sangat celaka, sangat celaka...! Kemudian ditanyakan : Siapa ya
Rasulullah? Baginda Bersabda : ”Barangsiapa yang mendapati kedua ibu bapanya ketika sudah sangat tua, salah seorang atau kedua-duanya, kemudian orang itu tidak masuk ke dalam Syurga (kerana tidak melayani ibu bapanya yang telah tua tersebut sebaiknya)”
(Hadith Shahih Muslim)
Wallahua’lam Bissowaab.
ODEI ANAK
Odei anak nokeilah ko idaah
Nasusah mati yama no megentian dika
Odei anak nokeilah ko idaah
Nasusah tomod yamamu minaganak dika
Namun kelahiranmu adalah penghibur
hati
Dibelai dan dimanja setiap hari
Di malam hari tidur tak berwaktu
Tapi tak mengapa kerna kau disayangi
Wahai anak apakah kau mengerti
Betapa deritanya Ibu yang mengandung
Aduhai anak apakah engkau tahu
Alangkah deritanya ibu melahirkanmu
Hari-hari sudah pun berlalu
Usiamu makin bertambah
Seorang ibu sudah semakin tua
Namun terus berkorban untuk sesuap
rezeki
Agar sempurna hari depanmu
Kini kau dewasa, ibumu telah pergi
Waktu yang berlalu seakan memanggil
Sudahkah kau curahkan kasih sayangmu
Apakah terbalas segala jasanya
Syurga itu di bawah tapak kakinya
Hanyalah anak-anak yang soleh
Bisa memberikan kasih sayangnya
Hanyalah anak-anak yang soleh
Bisa mendoakan hari akhiratmu
{Kumpulan Raihan}
Peralatan diperlukan :
1) Wheelchair
2) Water Dispenser
Masalah yang dihadapi oleh Pusat Jagaan Nur Hasanah :
Kekurangan dana bagi menambahbaik peralatan untuk keselesaan seluruh
penghuni rumah kebajikan tersebut kerana mereka bergantung sepenuhnya
kepada sumbangan daripada para penderma yang budiman. Pada pendapat
saya, kewujudan pusat jagaan seperti ini amat penting bagi membela para
ibu bapa yang telah tua serta gelandangan yang tidak mempunyai waris
yang mahu bertanggungjawab menjaga mereka. Sekiranya mereka dibiarkan
begitu sahaja tanpa penjagaan yang rapi, tiada siapa lagi yang mahu
ambil peduli dalam menjaga kesihatan serta keperluan-keperluan hidup
mereka yang lain.
Alamat pusat kebajikan :
Lot 842, Lorong Dato' Dagang Haji Tahir,
Kg. Sesapan Kelubi, 43700 Beranang, Selangor.
Tel/Faks : 03-87668100
* Pencalonan Anugerah Blogger Prihatin Harian Metro 2013
Suara nyanyian nasyid secara solo pernah ke udara di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2000 serta pernah menjuarai beberapa pertandingan Tilawah Al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri sekitar tahun 2001-2007 serta peringkat universiti dari tahun 2008-2011. Juga merupakan Finalis bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Cemerlang dan Anugerah Kelab/Persatuan Cemerlang Peringkat UiTM Se-Malaysia, selaku Yang Di Pertua/Presiden/Amir Jawatankuasa Penggerak Masjid (JPM) Sesi 2008/09. Persatuan Jawatankuasa Penggerak Masjid (JPM) UiTM Kampus Melaka pimpinannya telah menjulang pengiktirafan menerima Anugerah Kelab / Persatuan Cemerlang Peringkat UiTM Melaka 2009, pertama kali dalam sejarah penubuhan persatuan tersebut yang telah diasaskan pada tahun 2000. Memegang kepada prinsip hidup berdasarkan Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Hai orang-orang beriman, jika kamu membantu (agama) Allah, Dia akan membantu serta mengukuhkan kedudukanmu" - Surah Muhammad; Ayat 7.
Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor. 23Hb Januari 2011 (Sabtu) Di hening pagi yang cukup mendamaikan itu, ...
Jalinan Ukhuwah
Sahabat Sejati (^_^)
Kenangan Terindah...
Anugerah Kecemerlangan Kerohanian, Anugerah Kelab Persatuan Cemerlang (AKPC) UiTM Kampus Melaka 2009
Plak Anugerah Kelab/Persatuan Cemerlang UiTM Melaka
Naib Johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat UiTM 2011 M / 1432 H
Piala Iringan Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat UiTM 2011 M / 1432 H
Sijil Imam Profesional oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam, Selangor pada tanggal 17 Mac 2012 M Bersamaan 24 Rabi'ul Akhir 1433 H.
Sijil Seminar Rawatan Islam Siri 1 Bersama Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa (Darussyifa' & Pengacara al-Kuliyyah TV3), Anjuran bersama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, (MSSAAS), Shah Alam, Selangor & Saffron Integrated Marketing pada tanggal 16 April 2011.
Sijil Bengkel Asas Penulisan Novel Buku Prima bertarikh 19 Februari 2012, Bertempat di Akademi Karangkraf, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Muhasabah Cinta - Edcoustic
Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu
Tuhan baru kusadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu
Reff
Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung do’a ku
Sakit yang kurasa biar
Jadi penawar dosaku
*
Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi Muhasabat cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu
Dilahirkan pada tanggal keramat, 3Hb Oktober 1988 tepat jam 11.11 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Beris Lalang (1995-1998) dan Sekolah Kebangsaan Jelawat (1999-2000), kemudian meneruskan pelajaran peringkat menengah di Maahad Ya'akubiah Nipah (2001-2004) dan Maahad Amir Indera Petra (2005-Jun 2007), dan seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Melaka dalam jurusan Diploma Komunikasi Dan Media serta jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam di UiTM Kampus Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Suara nyanyian secara solo pernah ke udara di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2000 serta pernah menjuarai beberapa pertandingan Tilawah Al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri sekitar tahun 2001-2007. Pernah diamanahkan oleh pihak Istana Di Raja Kelantan serta Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk mengetuai seramai 1000 orang ahli nasyid mewakili 51 buah pasukan nasyid terdiri daripada para pelajar sekolah agama YIK seluruh Kelantan sebagai VOKALIS, membuat persembahan nasyid bersempena dengan Majlis Taman Di Raja bertemakan “Sepetang Bersama Seribu Penasyid” bagi menyambut Hari Ulangtahun Keputeraan KDYMM Al-Sultan Kelantan Yang Ke-51 di Istana Negeri Kelantan, di hadapan KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, DYMM Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Binti Tengku Abdul Hamid, YTM Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (Kini KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V), kerabat-kerabat Di Raja Kelantan, Barisan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, para pembesar negeri dan seluruh rakyat jelata pada tahun 2001.
Juga merupakan Finalis bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Cemerlang Peringkat UiTM Se-Malaysia, selaku Yang Di Pertua / Amir Jawatankuasa Penggerak Masjid (JPM) UiTM Kampus Melaka Sesi 2008/09 ke Malam Anugerah Kecemerlangan Persatuan Dan Kelab UiTM 2009 bertempat di Dewan Seri Budiman, UiTM Malaysia Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Persatuan Jawatankuasa Penggerak Masjid (JPM) UiTM Kampus Melaka pimpinannya telah menjulang pengiktirafan menerima Anugerah Kelab / Persatuan Cemerlang Peringkat UiTM Melaka 2009, pertama kalinya dalam sejarah penubuhan persatuan tersebut yang mula-mula sekali diasaskan pada tahun 2000.
Selain itu, beliau juga merupakan pengasas bersama bagi Kelab Masscomm Integration Islamic Students (MIIS) yang kini dikenali dengan nama Kelab Kesenian Islam (INSPIRASI) UiTM Melaka. Kelab ini telah meraih 4 anugerah utama bersempena dengan Malam Anugerah Kelab/Persatuan Cemerlang UiTM Melaka 2010 pada tanggal 12 Oktober 2010 iaitu Piala Emas Kelab/Persatuan Cemerlang Seluruh UiTM Melaka 2010, Anugerah Kelab/Persatuan Cemerlang, Anugerah Khas Kreativiti dan Inovasi Terbaik serta Anugerah Khas Kerohanian Terbaik. Beliau merupakan Timbalan Presiden (MIIS) serta Ketua Biro Furqan (INSPIRASI) pertama bagi kelab tersebut.
Disamping itu, beliau juga merupakan ahli kumpulan nasyid Entertainment Voice of Islamic Students (EVOIS) yang pernah berkongsi pentas membuat persembahan bersama-sama Kumpulan Ruffedge, Fabulous Cats, In Heart, Muadz Al-Asrar serta ramai lagi artis terkenal tanahair pada Konsert Malam Amal Gaza-Palestin bertempat di Kompleks Sukan UiTM Malaysia Shah Alam, anjuran Fakulti Sains Pentadbiran Dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Malaysia, Shah Alam pada tahun 2008, yang mendapat liputan meluas oleh pelbagai media cetak & elektronik di Malaysia.
Memegang kepada prinsip hidup berdasarkan Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Hai orang-orang beriman, jika kamu membantu (agama) Allah, Dia akan membantu serta mengukuhkan kedudukanmu."